JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui ancaman keselamatan yang diterima sebuah pusat beli-belah dan hotel di sini semalam menimbulkan situasi panik kepada para pengunjung.
Namun, pihak berkuasa telah mengesahkan pusat beli-belah berkenaan adalah selamat.
Justeru, beliau berharap rakyat negeri ini bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Johor termasuk daripada ancaman bom.
“Saya telah meninjau ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan di sana. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, keadaan di pusat beli-belah dan hotel adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.
“Keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9). Syukur alhamdulillah, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa,” katanya selepas melawat pusat beli-belah berkenaan, hari ini.
Onn Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, bomba dan semua agensi terlibat dalam menjaga keselamatan negara serta orang awam.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor terus terpelihara daripada sebarang ancaman mahupun insiden yang tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan ancaman bom diterima dua premis berkenaan adalah palsu. – UTUSAN










