KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki menegaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kepincangan dalam pengedaran beras bukan bersifat mencari kesalahan kerajaan negeri atau mana-mana ahli politik.
Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, siasatan berdasarkan maklumat dan aduan diterima dan tidak menyasarkan pihak-pihak tertentu.
“Kita (SPRM) bertindak profesional dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana pihak yang disyaki melakukan penyorokan sehingga mengganggu pengedaran bekalan beras tempatan.
“Kita tidak ada ‘target’ (sasar) seseorang atau mana-mana pihak, kerajaan negeri atau mana-mana ahli politik. Tugas kami SPRM ialah untuk meneliti sebarang maklumat dan juga aduan yang kita terima.
“Tidak ada sebarang kekangan politik ataupun sebarang pembabitan mana mana pihak dalam siasatan kami kerana mana-mana pihak yang terbabit dalam isu jenayah, rasuah, salah guna kuasa akan menjadi perhatian.
“Tumpuan kami tidak kira mereka itu siapa pun,” katanya selepas majlis Program Public-Private Partnership (PPP) Fasa 2 di sini, hari ini. Turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd Rahman Abu Bakar.
PENGIMPORT
Dalam pada itu, Azam mengesahkan, seorang pemilik syarikat mengimport beras didakwa semalam.
Kata beliau, rentetan itu, SPRM menyerbu dua lagi kilang beras di Kedah hari ini.
“Kita (SPRM) telah bertindak menyerbu kilang berkenaan daripada maklumat yang kita terima.
“Siasatan dijalankan bukan sahaja melihat kepada penyorokan bahan ruji itu tetapi kita (SPRM) akan tengok juga sama ada terdapat subsidi-subsidi kerajaan yang diselewengkan selain potensi berlaku kesalahan melibatkan pihak lain.
“Sekiranya kita dapati ada kilang-kilang menyeleweng subsidi-subsidi ini, sudah pasti tindakan akan diambil,” jelasnya.
Azam berkata, siasatan berkaitan isu beras turut membabitkan agensi lain, namun perspektif siasatan SPRM dari sudut kesalahan penyelewengan subsidi kerana ia membabitkan dana kerajaan.
Dalam pada itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ada lagi kilang-kilang beras yang akan diserbu selepas ini.
“Kita bukan sahaja nak tengok berapa banyak beras disorok, tetapi dokumen-dokumen yang terlibat, invois dan sebagainya, berkaitan tuntutan untuk mendapatkan subsidi.. ini yang kita perlu lihat.
“Selepas ini juga akan menjalankan siasatan berkaitan pihak-pihak yang terbabit dalam kawal selia padi, kita akan panggil untuk memberi keterangan,” katanya. – UTUSAN