Israel mungkir janji, Nurul Ain, suami gagal tinggalkan Gaza - Utusan Malaysia

Israel mungkir janji, Nurul Ain, suami gagal tinggalkan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya, Mohamed Adan Shaat tidak sempat meninggalkan kawasan bergolak di Sempadan Gaza apabila Israel mungkir janji untuk tidak menyerang sempadan Rafah, kelmarin.

Berkongsi kisahnya kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain, 37, berkata, dia dan suaminya me­nerima maklumat daripada Kedutaan Malaysia di Mesir yang mengarahkan mereka bergerak menuju ke sempadan Rafah ke­rana pintunya akan dibuka sekitar jam 12 tengah hari hingga 5 petang waktu tempatan.

Katanya, arahan tersebut selepas pengumuman Israel bahawa mereka akan ­membuka laluan kepada warga asing yang terkandas di Gaza untuk mening­galkan kawasan tersebut tanpa ancaman ketenteraan.

“Perjalanan kami dari Khan Younis ke Rafah hanyalah sekitar 20 minit. Sebaik tiba di sana, kami dimaklumkan pembukaan pintu sempadan ditangguhkan kerana tentera Israel tiba-tiba melancarkan serangan roket melalui udara berhampiran kawasan tersebut.

“Ribuan penduduk tempatan dan warga negara asing keba­nyakannya dari Eropah berada di sempadan Rafah ketika itu.

“Sebaik dimaklumkan ada serangan di kawasan berhampiran, saya dan suami memutuskan untuk berpatah balik demi keselamatan. Pada masa sama, pintu sempadan juga ditutup kepada semua pihak,” katanya ketika dihubungi.

ARAHAN

Nurul Ain berkata, dia kini hanya menunggu arahan daripada kedutaan Malaysia di Mesir manakala seorang warga Indonesia yang juga mahu keluar dari Gaza sedang berurusan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

“Jadi jika PBB memaklumkan kami boleh keluar melalui Rafah jadi kami akan keluar, jika tidak kami akan terus berada di sini,” katanya.

Nurul Ain yang berkahwin dengan rakyat Palestin, pertama kali menjejakkan kaki ke Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.

Kedua-duanya yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan mening­galkan Gaza 25 Oktober melalui sempadah Rafah me­nuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya. Namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.

Mengenai keadaan terkini di Khan Younis, Nurul Ain memaklumkan sejak dua hari kebelakangan ini, tentera zionis banyak melancarkan serangan roket membedil kawasan perumahan kawasan tersebut.
Menurutnya, dia dan suami­nya kini masih menetap di rumah mentuanya buat sementara waktu sehinggalah dibenarkan meninggalkan Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN