Guardiola buktikan United bukan lagi tandingan City

Guardiola buktikan United bukan lagi tandingan City

PENYERANG Manchester City, Erling Haaland menjaringkan gol melalui sepakan penalti menentang Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, kelmarin. City menang 3-0. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan Manchester United bukan lagi lawan yang setanding buat pasukannya yang kini terbukti antara kelab gergasi Eropah.

Kemenangan ke atas United kelmarin meletakkan City di tangga ketiga liga, berkelebihan sembilan mata di depan United yang hanya menang dua kali daripada lapan pertemuan ke­dua-dua seteru itu.

Walaupun tidak menafikan pertemuan dengan United pen­ting, Guardiola bagaimanapun tetap menyifatkan lawan mereka yang paling sengit ialah Li­verpool.

“Ada satu tahun ketika Uni­ted di bawah Ole Gunnar Soskjaer, saingan begitu sengit tetapi selebihnya ialah Liverpool. Reds tetap seteru kami selamanya. Bagusnya Liverpool menjadikan pasukan kami terus berusaha dan membantu kami menjadi semakin bagus.

“Mereka mencabar kami seolah-olah tiada pasukan lain dalam liga yang boleh mencabar mereka selama saya di sini (City). Sudah tentu Arsenal semakin bagus dan Newcastle dan Chelsea juga dalam usaha membina prestasi pasukan.

“Lihat sahaja Spus yang semakin hebat permainan mereka. Mereka sentiasa akan menjadi pesaing musim ini. Mereka berpeluang (saingan ke hujung musim). Namun, Liverpool tetap musuh kami sejak musim lalu lagi,” katanya.

Malah, Guardiola teringat re­aksi bekas pengurus United, Alex Ferguson terhadap City semasa bersama The Red Devils.

“Kata-kata Alex Ferguson ada kebenarannya. City bukan saingan (United). Tanpa pelaburan daripada Sheikh Mansour dan Khaldoon Al Mubarak, City tidak akan menjadi seperti hari ini.

Ketika itu United dan Arsenal adalah kelab terkaya, kami tiada di situ.

“Ketika itu Ferguson juga tidak menyangka perubahan City, begitu juga saya ketika mengendalikan Barcelona. Namun, sekarang inilah realitinya. Kami mahu kekal begini selagi termampu. Dulu kami bukan pasukan elit, tetapi sekarang kami adalah pasukan elit dan mereka mungkin tidak selesa dengan pengakuan ini,” kata­nya.

Dalam aksi kelmarin, Erling Haaland menjaringkan dua gol dan membantu Phil Foden untuk satu lagi gol ketika Manchester City melakar kemenangan 3-0 ke atas United.

Dua gol Haaland di Old Trafford menyaksikan dia mencatat sejarah menjaringkan 20 gol di tempat lawan dalam karier di Liga Perdana Inggeris. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya