GST lebih ‘menderita’ banding SST 8 peratus - Utusan Malaysia

GST lebih ‘menderita’ banding SST 8 peratus

Kerajaan belum bercadang mengembalikan GST.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gesaan supaya kerajaan memperkenal semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah langkah akan menyebabkan rakyat lebih ‘menderita’ berbanding meningkatkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sekiranya GST dilaksanakan ia akan menggagalkan usaha kerajaan untuk merombak sistem percukaian negara.

Kata beliau, kenaikan kadar SST lebih sesuai dilakukan untuk mencapai matlamat kerajaan tersebut berbanding GST yang dilihat lebih memberi tekanan kepada rakyat secara kese­luruhan.

“Kenaikan kadar dua peratus SST itu hanya untuk barang-barangan dan perkhidmatan mewah sahaja, untuk makanan serta seumpamanya tidak naik. Saya merasakan kemungkinan jumlah akan dikutip tidaklah begitu banyak, hanya ada pertambahan lebih kurang RM1 bilion.

“Kerajaan sebenarnya memang dalam usaha merombak sistem pencukaian negara tetapi pada masa sama cuba merombak dengan meluaskan skop pencukaian, sebab ketika ini ia bertumpu kepada hanya pembayar cukai daripada kelas menengah.

“Kita ada lebih kurang 8,000 sahaja pembayar cukai kelas T20 iaitu pendapatannya melebihi RM1 juta.Daripada jumlah tersebut juga ada yang memperoleh pendapatan melebihi RM2 juta. Jadi kita ada kurang 10 peratus pembayar cukai daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Kita juga hanya ada kira-kira sejuta syarikat yang mendaftar dan 60,000 daripada mereka sahaja yang benar-benar membayar cukai pada kadar penuh. Jadi maknanya kita nak cuba luaskan skop dengan meluaskan jumlah cukai atau pendapatan boleh dicukai, berbanding jumlah pembayar cukai.

“Sebab itu, GST tidak sesuai untuk mencapai matlamat kerajaan kerana ia satu bentuk cukai yang meliputi semua pembayar di seluruh Malaysia,” katanya.

LAPAN PERATUS

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan SST dari enam ke lapan peratus tetapi makanan, minuman serta komunikasi dikecualikan daripada langkah berkenaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 menyatakan pemilihan antara SST dan GST bergantung kepada objektif ekonomi negara, keupayaan pentadbiran dan keperluan untuk mencapai keseimbangan optimum antara menjana pendapatan dengan menggalakkan keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat,.

Menurut MOF, pelaksanaan SST bercirikan skop lebih kecil dan strategi berhemat dalam cukai penggunaan kerana hanya dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tertentu, ini berbeza dengan model GST yang lebih meluaskan asas cukai.

Bagaimanapun, MCA menggesa kerajaan menyusun semula sistem percukaian negara dengan memperkenal kembali GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga hingga empat peratus, bukannya meningkatkan SST.

Mengulas lanjut Barjoyai berkata, kerajaan berhasrat me­ngurangkan beban bagi kumpulan berpendapatan rendah jadi tidak sesuai jika GST diperkenalkan semula kerana ia menuntut semua kumpulan membayar cukai.

“Itu membazirkan usaha kita kalau nak mereka membayar cukai mengapa kita bagi subsidi pula? Saya rasa kerajaan tidak akan perkenalkan GST dalam tempoh jangka pendek,” kata­nya.

Katanya, beliau berharap dengan usaha merombak semula sistem percukaian negara, kerajaan dapat memperkenalkan sistem pencukaian baharu yang berasaskan SST dan lebih baik daripada GST.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN