GAZA: Kebimbangan pencerobohan darat secara besar-besaran ke atas Gaza semakin meningkat apabila Israel berikrar untuk menjadikan kawasan Palestin yang terkepung itu sebagai padang jarak padang tekukur berikutan serangan roket Hamas kelmarin.
Malah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut memberi bayangan seolah-olah Gaza berkemungkinan akan ‘lenyap dari muka bumi Palestin’ selepas ini.
Jumlah kematian di Gaza dan wilayah Israel tidak mustahil boleh mencecah ribuan mangsa sekiranya konflik masih berterusan dan tiada gencatan senjata dipersetujui.
Setakat pukul 7 malam tadi, angka korban yang dilaporkan sekurang-kurangnya 313 orang dan sekitar 2,000 lagi cedera di Gaza yang dikawal ketat itu.
Netanyahu mengeluarkan amaran itu sebagai tindakan balas Israel kepada serangan Palestin kelmarin dan disifatkan yang terburuk.
Malah Netanyahu memberitahu penduduk Israel bahawa mereka akan menghadapi perang dengan Palestin dalam tempoh yang panjang dan sukar.
MENTADBIR
Ikrar itu dibuat selepas pejuang bersenjata Hamas yang mentadbir Gaza melakukan serangan sehingga membunuh sekurang-kurangnya 300 orang dan mencederakan 1,500 lagi di Israel.
Susulan itu, tentera Israel melancarkan serangan balas lebih dahsyat ke atas Gaza.
Tentera Israel dilaporkan mengebom Gaza dan bertempur dengan kumpulan bersenjata Hamas di selatan Israel sejak pagi kelmarin dan jurucakap tentera berkata keadaan di wilayah itu semakin tidak terkawal.
Hamas berkata, serangan yang tidak pernah berlaku itu merupakan tindak balas terhadap insiden mencemar Masjid Al Aqsa serta kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin selama beberapa dekad termasuk peningkatan penempatan haram di kawasan itu.
“Masanya sudah tiba untuk musuh memahami bahawa mereka tidak boleh meneruskan kekejaman tanpa merasa akibatnya.
“Serangan yang bermula di Gaza akan merebak ke Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang diduduki,” kata Komander Tentera Hamas, Mohammed Deif.
SOKONGAN
Jurucakap Hamas, Ghazi Hamad memberitahu BBC bahawa kumpulan itu menerima sokongan langsung dari Iran.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, rakyat Palestin mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka daripada keganasan peneroka haram dan dilaporkan membuat panggilan telefon kepada Presiden Perancis, Emmanuel
Macron serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken bagi membincangkan perkara tersebut.
Dalam panggilan telefon itu, Abbas menekankan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa menyebabkan pendudukan Israel semakin galak di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memaklumkan, sekurang-kurangnya dua warga Thailand terkorban dalam keganasan antara Israel dan Palestin.
Srettha menerusi platform media sosial X berkata, beliau menerima laporan tersebut daripada duta Thailand di Tel Aviv.
Menurut beliau, Kementerian Luar Thailand sedang berusaha membawa pulang rakyatnya dari wilayah bergolak itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet mengesahkan kematian seorang pelajar Kemboja yang menyambung pengajian di wilayah berkenaan ketika keganasan berlaku.
Satu serangan udara Israel ke atas Hospital Indonesia di Bayt Lahiya di Gaza Utara turut mengakibatkan kematian seorang sukarelawan Palestin dikenali sebagai Abu Romzi yang berkhidmat di kemudahan itu sejak 2011.
Jet tempur Israel juga dilaporkan menyerang ambulans Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), sebuah pertubuhan sosial kemanusiaan Indonesia yang terletak di hadapan kuarters sukarelawan di kompleks hospital itu. – UTUSAN










