Gara-gara buat pusingan U, suami maut isteri parah - Utusan Malaysia

Gara-gara buat pusingan U, suami maut isteri parah

KEADAAN motosikal dinaiki mangsa yang dilanggar kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 48, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Gara-gara membuat pusingan U di tempat yang tidak sepatutnya, seorang lelaki warga emas maut, manakala isterinya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 48, Jalan Batu Pahat-Mersing

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Nor berkata, kejadian pukul 6.16 petang itu berlaku di persimpangan lampu isyarat ketika motosikal Kriss Modenas ditunggang mangsa datang dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang, manakala Toyota Hilux dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit masuk ke laluan pacuan empat roda menyebabkan pacuan empat roda melanggar motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurut Bahrin, semasa kejadian lampu isyarat menunjukkan warna hijau dari kedua-dua arah tetapi laluan tersebut tidak dibenarkan membuat pusingan U.

Akibat pelanggaran tersebut, menyebabkan warga emas terbabit, Mohd. Roslin Ahmad, 64, mengalami kecederaan dalaman, patah lengan dan kaki kiri serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Isterinya, Halawati Abdullah, 45, yang membonceng motosikal itu patah tangan kanan dan kaki kiri serta kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang. 

“Kedua-dua pasangan tersebut beralamat di Parit Raja, Batu Pahat manakala pemandu Toyota Hilux yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan dan berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN