Dua remaja lelaki ditahan pecah rumah jiran - Utusan Malaysia

Dua remaja lelaki ditahan pecah rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keprihatinan jiran membawa kepada penahanan dua remaja lelaki yang dikesan memecah masuk sebuah rumah di Taman Semarak, Nilai di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian itu disedari oleh jiran pemilik rumah yang mendapat maklumat pada pukul 7.30 malam melalui aplikasi WhatsApp bahawa terdapat individu telah memecah masuk rumah tersebut yang berada di tingkat atas.

“Kaunter aduan Balai Polis Nilai telah menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun pada pukul 10.34 malam hari sama berhubung kejadian pecah rumah yang berlaku.

 “Pada pukul 8.30 malam, lelaki itu memaklumkan dia telah menghala ke rumah jiran tersebut untuk melihat keadaan dan setibanya di sana dia membuat pemeriksaan dalam dan luar rumah mendapati wayar kabel dalam rumah telah dicabut dari siling,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Malik berkata, jiran tersebut telah membuat pemeriksaan di luar rumah dan mendapati terdapat dua orang remaja lelaki berusia 14 tahun berada di situ.

“Pengadu telah ke arah mereka untuk bertanyakan berkenaan pecah masuk rumah jiran. Kedua-dua lelaki itu kemudian mengaku melakukan hal tersebut dan pengadu telah memaklumkan kepada pihak polis. 

“Pihak polis tiba di tempat kejadian pada pukul 9 malam dan kedua-dua suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut,” katanya.

 Menurut Abdul Malik, bagaimanapun kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai bagi membolehkan suspek menduduki peperiksaan akhir tahun. 

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk rumah.

“Masyarakat dinasihatkan untuk membuat pemantauan ke atas anak-anak bagi mengelakkan mereka tidak terlibat dalam kejadian jenayah,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN