JOHOR BAHRU: Dua pengurus sebuah pusat latihan memandu ditahan kerana disyaki menjual kelulusan ujian komputer kepada calon untuk mendapatkan lesen memandu.
Pengurus pemasaran dan pengurus pentadbiran sebuah sekolah memandu itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7 malam semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki dan seorang wanita berusia 47 dan 43 tahun itu telah bekerja di sekolah latihan memandu berkenaan sejak 2021.
Mereka dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,000 kepada calon-calon yang berminat untuk menjamin kelulusan ujian komputer bagi mendapatkan lesen memandu tersebut.
Penahanan kedua-dua suspek disahkan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
“Setiap calon wajib menduduki ujian yang ditetapkan sebagai syarat mendapatkan lesen memandu bagi mempelajari serta memahami peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Syarikat yang mengendalikan ujian pula perlu memastikan setiap calon hadir dan tidak diwakili oleh individu lain. Tiada jalan pintas dalam mendapatkan lesen memandu kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain,” jelasnya. – UTUSAN