PUTRAJAYA: Saintis negara, Prof Dr. Justin Sentian diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama menjalani ekspedisi penyelidikan di Antartika semasa musim sejuk.
Penyelidik dari Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu turut diiktiraf sebagai satu-satunya rakyat negara ini paling lama berada di benua itu iaitu selama tujuh bulan sejak 21 Mac hingga 20 Oktober lalu bagi menjalankan penyelidikan berkaitan perubahan iklim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Justin berkata, beliau amat berpuas hati kerana berjaya menjalankan penyelidikan bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’ dengan kerjasama rakan penyelidik dari negara Chile di stesen penyelidikan Profesor Julio Escudero milik negara itu yang terletak di Pulau King George, Antartika.
“Saya telah memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.
“Di samping itu, saya juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halocarbon seperti bromokarbon dan sebagainya,” katanya di sini semalam.
Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini setelah mengikuti ekspedisi yang dianjurkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama organisasi Instituto Antarctico Chileno (INACH) dan Kedutaaan Chile di Malaysia.
PENYELIDIKAN
Beliau menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk penyelidikan ini.
Mengulas lanjut, Justin berkata, data-data ini penting dalam kajian kimia ozon atmosfera terutama di lapisan troposfera and stratosfera, dan juga implikasinya ke atas peningkatan paras ozon troposfera dan kesan jangka masa panjang kepada perubahan iklim.
Katanya, ini memandangkan permukaan ozon merupakan bahan pencemar sekunder dan juga gas rumah hijau yang penting dalam isu pemanasan bumi, di mana ozon ini mempunyai keupayaan memerangkap haba 1,000 kali lebih baik daripada karbon dioksida.
“Kajian ke atas halokarbon seperti bromokarbon juga boleh membawa implikasi penting bukan sahaja kepada kimia ozon atmosfera tetapi juga peranannya sebagai bahan penipis ozon.
“Pemanasan bumi di Antartika akibat perubahan iklim boleh merangsang pembebasan gas-gas halocarbon ini dari sumber-sumber semulajadi seperti dari lautan,” katanya.
Justin berkata, halokarbon ini adalah bahan semulajadi yang boleh menipiskan lapisan ozon dan jika ini berlaku, usaha negara-negara di dunia termasuk Malaysia untuk memulihkan lapisan ozon melalui implementasi Montreal Protocol akan terencat.
“Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapi terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem.
“Ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 km/jam. Keadaan cuaca yang tidak menentu dalam satu hari, selalunya sukar untuk mengambil sampel terutamanya air laut dan ais laut,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap, hasil kajian ini dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk.
Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika. – UTUSAN










