Dikejar polis dari Senawang, kereta dinaiki empat lelaki terbabas di Rembau - Utusan Malaysia

Dikejar polis dari Senawang, kereta dinaiki empat lelaki terbabas di Rembau

SEBUAH kereta yang dinaiki empat lelaki terbabas ke dalam longkang di Jalan Lee Poon, Rembau selepas dikejar oleh unit kereta peronda polis sejauh 20 kilometer dari Senawang, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebuah kenderaan dipercayai dinaiki empat lelaki terbabas ke dalam longkang di daerah ini setelah dikejar dan diekori lebih 20 kilometer oleh anggota unit kereta peronda polis dari Senawang, Seremban dalam kejadian pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Rosli Ishak berkata, kira-kira pukul 2.40 pagi telah berlaku satu kejadian kejar mengejar di antara pihak polis dan sebuah kenderaan jenis Honda Jazz berwarna kelabu dari hadapan pasar raya Mydin Senawang sehingga Jalan Lee Poon, Rembau. 

Menurutnya, kenderaan yang dinaiki oleh empat orang lelaki itu telah terbabas dan kemudian kesemua mereka melarikan diri. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norhasikin Hashim di talian 017-2441954 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222,” katanya kepada pemberita hari ini.

LOKASI sebuah kereta dinaiki empat lelaki yang terbabas ke dalam longkang di Jalan Lee Poon, Rembau selepas dikejar oleh unit kereta peronda polis sejauh 20 kilometer dari Senawang, Seremban.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

Dalam pada itu, seorang orang awam yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi memberitahu, dia seperti biasa sampai di lokasi tersebut pada sekitar pukul 8.30 pagi untuk bekerja dan terkejut apabila mendapati terdapat kesan tayar kenderaan menuju ke arah longkang.

Bagaimanapun menurutnya, pada masa itu tiada kenderaan di dalam longkang cuma kesan longkang pecah dan cebisan komponen kenderaan terdapat di dalam longkang tersebut.

“Tidak lama kemudian, ada orang memberitahu bahawa polis siudah ada di kawasan ini awal pagi tadi. Saya pun tidak tahu apa-apa dan terkejut apabila mengetahui terdapat insiden ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN