Cinta Gaza kumpul RM25 juta setakat ini

Cinta Gaza kumpul RM25 juta setakat ini

PESERTA Himpunan Malaysia bersama Palestin menunaikan solat maghrib di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM) sehingga kini sudah mengumpul sumbangan RM25 juta dalam tempoh dua minggu sejak bermulanya serangan rejim zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, sehingga kini sebanyak RM3.2 juta daripada jumlah sumbangan disalurkan ke Gaza sejak peperangan meletus.

“Bantuan yang kami salurkan adalah membabitkan RM1.83 juta bantuan segera iaitu kotak makanan, makanan panas dan perubatan. Sebanyak RM80,370 bekalan bahan api. RM1.18 juta bantuan kewangan dan RM145,000 alat kelengkapan penyelamat untuk pasukan pertahanan Gaza.

“Kami harap rakyat Malaysia teruskan menyumbang kerana keadaan semakin getir. Semalam, serangan paling buruk berlaku sejak lebih dua minggu peperangan. Bila-bila masa serangan darat boleh dilancarkan oleh rejim zionis,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safwan Ujar berkata, setakat ini, lebih RM1.5 juta sudah dikumpulkan oleh MCM untuk membantu penduduk Gaza.

Beliau yang kini berada di Mesir untuk menghantar bantuan ke Palestin berkata, pihaknya membawa bantuan perubatan termasuk ubat-ubatan yang amat diperlukan penduduk Gaza ketika ini serta pek-pek makanan untuk menampung kira-kira 500,000 pelarian yang berlindung di Rafah.

“Antara lain, kami juga membawa barangan keperluan penting lain seperti tuala wanita, lampin pakai buang untuk anak kecil dan beberapa barangan lain.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami hanya boleh menghantar bantuan-bantuan ini ke Al Arish, Mesir iaitu 45 kilometer dari pintu sempadan Rafah untuk dikumpulkan di pusat pengumpulan Bulan Sabit Merah Mesir,” katanya.

Menurut beliau, bantuan-bantuan tersebut kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ untuk digerakkan ke Gaza pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun, setakat ini, kami tiada maklumat bila bantuan-bantuan tersebut dapat digerakkan ke Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN