KOTA BHARU: Seorang buruh dari etnik Rohingya yang ditemukan maut dengan 40 tikaman dalam kejadian di Kampung Melor Lama di sini semalam dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri rakannya.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, mangsa yang berusia 44 tahun, disahkan meninggal di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di dada dan perut akibat tikaman bertubi-tubi menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
Menurutnya, siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa dikatakan bergaduh di dalam rumah dengan suspek yang berusia 32 tahun, sebelum ditemui mati di kawasan kebun jagung yang terletak tidak jauh dari rumah tersebut.
“Suspek dipercayai cemburu apabila mangsa datang ke rumah sewanya pagi semalam. Dia mengesyaki mangsa dan isterinya yang berusia 29 tahun mempunyai hubungan sulit sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu.
“Selepas bergaduh di dalam rumah, mangsa dipercayai melarikan diri ke kebun jagung berhampiran kediaman tersebut sebelum ditikam oleh suspek di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa membunuh mangsa.
Katanya, suspek dan isterinya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Utusan Online semalam melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan senegaranya selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, hari ini.
Mangsa dijumpai mati di kawasan kebun jagung berhampiran rumah yang disewa oleh suspek itu kira-kira pukul 8 pagi.-UTUSAN