KUALA LUMPUR: Empat lelaki disyaki melindungi dua suspek utama kes bunuh tiga warga Sri Lanka di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, minggu lalu ditahan polis di sebuah rumah di Petaling Jaya.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan penahanan setakat ini membabitkan lapan individu termasuk pasangan suami isteri dan dua suspek utama kes bunuh tiga mangsa tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, empat suspek tersebut terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang Pakistan dan mereka dipercayai rakan dan melindungi dua suspek utama.
Menurut beliau, dengan penahanan empat berusia 20 hingga 40 tahun polis yakin akan dapat menyelesaikan kes pembunuhan tersebut minggu ini.
`“Kita akan sambung reman terhadap kesemua suspek dan berharap dapat selesaikan siasatan dalam minggu ini.
“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya selepas program Back To School Ketua Polis Kuala Lumpur di Victoria Institution, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kematian seorang daripada suspek kes tersebut ketika dalam tahanan kelmarin, beliau berkata, perkara itu akan dijelaskan siasatan pihak polis.
“Siasatan terhadapnya hampir selesai dan kematiannya tidak menjejaskan siasatan,” ujarnya.
Pada 23 September lalu, media melaporkan polis menemukan mayat warga Sri Lanka di bilik stor di lokasi kejadian selepas pihak polis menerima panggilan berkaitan satu pergaduhan pada 22 September.
Allaudeen dilaporkan berkata, ketika-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik selain seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan bogel.
Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri dipercayai ibu bapa kepada salah seorang mangsa ketika hari kejadian manakala dua suspek utama ditahan pada 25 September di Hulu Langat, di sini.- UTUSAN