MUAR: Seorang pekerja kampung ditahan selepas membelasah isterinya yang bertanya kenapa dia pulang lewat ke rumah di Parit Jawa, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Secara tiba-tiba suspek telah memarahi dan meninggikan suara kepada mangsa supaya tidak masuk campur.
“Suspek kemudiannya bertindak menendang isterinya pada bahagian belakang badan dan menumbuk pada bahagian lengan sebelah kiri.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 34 tahun di rumahnya kira-kira pukul 2 pagi tadi kerana mendatangkan kecederaan terhadap isterinya,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, berdasarkan laporan dan siasatan, suspek telah beberapa kali memukul isterinya sebelum ini dan mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.
“Suspek hanya bekerja mengambil upah kerja-kerja kampung. Ujian air kencing suspek adalah negatif dadah dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994,” katanya. – UTUSAN