247,407 individu muflis hingga September - Utusan Malaysia

247,407 individu muflis hingga September

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan, jumlah kes kebankrapan yang ditadbir oleh jabatan itu bagi tempoh empat tahun bermula 2020 adalah sebanyak 25,410 kes. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 247,407 kes kebankrapan terkumpul direkodkan sehingga September lalu di seluruh negara menyaksikan kadar muflis masih di tahap membimbangkan.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia mendedahkan, lima negeri dengan rekod kebankrapan tertinggi iaitu Selangor (61,578), Wilayah Persekutuan (43,987), Johor Bahru (28,093), Pulau Pinang (20,094) dan Perak (12,678) manakala Perlis negeri terendah kes bankrap sebanyak 659.

Punca kebankrapan tertinggi ialah kerana pinjaman peribadi (36,508/33.66 peratus), sewa beli kenderaan (20,194/18.62 peratus), pinjaman perumahan (12,117/11.7 peratus), pinjaman perniagaan (11,700 /10.79 peratus) dan hutang kad kredit (10,083 /9.30 peratus).

Maklumat yang dipaparkan melalui Sistem Bank Data Belia Malaysia, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia bagi tahun 2015 hingga Ogos 2023 pula menunjukkan seramai 25,884 individu berumur 25 hingga 34 tahun (23.86 peratus) diisytihar bankrap, manakala 81,862 individu atau 75.47 peratus individu berumur 34 tahun dan ke atas bankrap.

Sistem itu turut memaparkan, Melayu golongan tertinggi diisytihar bankrap iaitu sebanyak 61,245 orang diikuti Cina (28,123), India (11,267) dan lain-lain sebanyak 7,755.

LELAKI

Kes kebankrapan secara keseluruhannya didominasi kaum lelaki sebanyak 70.70 peratus atau 76,683 individu manakala wanita sebanyak 29.27 peratus atau 31,754 individu.

Selain itu, sektor swasta merekodkan jenis pekerjaan dengan jumlah kebankrapan tertinggi iaitu 42,188 individu (38.89 peratus), 40,297 individu (37.15 peratus) tiada maklumat, 12,679 individu (11.69 peratus) berniaga, seramai 7,766 individu (7.16 peratus) pekerja sektor awam manakala bekerja sendiri seramai 2,782 individu (2.56 peratus).

Mengulas perkara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, institusi perbankan dan kewangan disaran menawarkan program penyatuan hutang kepada golongan bermasalah dengan hutang.

Menurut beliau, ini bagi membolehkan individu menggabung hutang yang pelbagai menjadi satu pinjaman dengan kadar faedah rendah, sekali gus memudahkan bayaran balik dan mengurangkan beban hutang.

“Saya berpandangan, kerajaan boleh meningkatkan program bantuan yang menyediakan bantuan kewangan atau pelepasan hutang termasuk subsidi bersasar, pengurangan kadar faedah atau pilihan penstrukturan semula hutang.

“Harus diingat, menangani isu hutang dan muflis memerlukan pendekatan pelbagai serampang yang menggabungkan pendidikan, bantuan kewangan, langkah kawal selia dan sokongan yang diperibadikan.

“Namun, dengan melaksana strategi-strategi ini, Malaysia boleh memperkasa individu untuk mendapatkan semula kestabilan kewangan dan mengelakkan kesan yang memudaratkan kebankrapan,” katanya ketika dihubungi semalam.

MENILAI

Sehubungan itu, Mohamad Idham berkata, kerajaan boleh mempertimbang dan menilai alternatif pelepasan hutang seperti penyelesaian hutang atau program pengampunan hutang untuk individu yang berdepan masalah kewangan melampau.

Katanya, institusi kewangan juga digalakkan mempromosi peminjaman bertanggungjawab termasuk termasuk penilaian kredit menyeluruh dan pendidikan celik kewangan untuk pemohon pinjaman.

“Saya percaya, ini boleh menghalang individu daripada mengambil tahap hutang yang tidak mampan. Adalah penting untuk kita menggalakkan ketersediaan perkhidmatan rundingan hutang yang boleh membantu individu berunding dengan pemiutang.

“Ini bertujuan mengurangkan hutang atau mewujudkan syarat pembayaran lebih terurus. Perkhidmatan ini boleh menyediakan pengantaraan profesional dan menyokong kepentingan penghutang,” katanya.

Katanya, individu juga wajar dibantu dengan membangunkan pelan pembayaran balik hutang peribadi yang mengutamakan hutang dengan faedah tinggi dan menetapkan jadual pembayaran realistik.

“Pelan ini harus fleksibel dan boleh disesuaikan dengan perubahan dalam pendapatan atau perbelanjaan,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mesyuarat Dewan Rakyat berkata, kerajaan mengambil pendekatan membuka peluang kedua dengan memberi pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi kepada individu bankrap yang berhutang tidak melebihi RM50,000 dan memenuhi syarat.

Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695] berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu seiring Dasar Peluang Kedua yang menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap dalam tempoh setahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN