16,456 pilih wakil rakyat Pelangai hari ini

16,456 pilih wakil rakyat Pelangai hari ini

SEORANG petugas SPR membuat persiapan PRK - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 16,456 pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini bagi memilih wakil rakyat mereka untuk tempoh empat tahun akan datang.

Daripada jumlah pemilih berdaftar tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 16,417 orang adalah pengundi biasa, 36 orang anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang hari ini, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lalu, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

TIGA PENJURU

Pilihan raya ini membabitkan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Bagi calon bertanding, hanya Kasim mengundi hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi di sini manakala Amizar dan Haslihelmy masing-masing merupakan pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.

Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.

Kini, segalanya terletak atas budi bicara pengundi di kawasan berkenaan setelah tempoh kempen selama 14 hari dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap calon bertanding menerusi pelbagai medium termasuk media sosial, kempen rumah ke rumah dan program menyantuni rakyat.

Imam al-Ghazali pernah berpesan: “Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”

Jika memilih berdasarkan emosi, rakyat Pelangai yang rugi. Pilihlah pemimpin yang ikhlas, bertanggungjawab, berwawasan dan berpandangan jauh serta memastikan semua rakyat pelbagai kaum di kawasan ini selesa dan bahagia di bawah kepemimpinannya.

Siapa pilihan pengundi Pelangai? Keputusanya akan diputuskan sendiri oleh ‘bos’ besar iaitu rakyat di kawasan itu dan akan terjawab setelah proses membuang undi berakhir pukul 6 petang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN