Warga asing berniaga, bekerja tanpa pas sah ditahan di Pasar Besar Seremban - Utusan Malaysia

Warga asing berniaga, bekerja tanpa pas sah ditahan di Pasar Besar Seremban

SERAMAI 14 warga asing ditahan dalam Op Jaja yang dijalankan oleh JIMNS di Pasar Besar Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan warga asing yang menjaja di sekitar Pasar Besar Seremban di sini tanpa kebenaran membawa kepada penahanan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Op Jaja oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS).

Serbuan dilakukan bermula pukul 5.40 pagi semalam melibatkan seramai 16 orang pegawai JIMNS susulan aduan orang awam yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil maklumat awam mendapati, lokasi itu disyaki dipenuhi dengan warga asing yang bekerja tanpa suatu pas yang sah dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat serta pelanggan.

“Sebanyak 10 premis termasuk di sekitar lokasi terbabit telah diperiksa yang merangkumi gerai sayur-sayuran, gerai makanan minuman serta gerai menjual ayam dan ikan.

“Seramai 38 orang pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun termasuk pelanggan berjaya dikumpulkan bagi tujuan dokumentasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kennith berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 14 warga asing yang terdiri daripada tujuh lelaki warga Indonesia ,empat lelaki Myanmar serta masing-masing seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita Myanmar telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), masuk tanpa suatu pas yang sah di bawah seksyen 6(1)(c) dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tambah beliau, seramai sembilan warga Malaysia iaitu pemilik gerai yang disyaki terlibat telah diberikan Borang 29 (saman kepada saksi) untuk hadir di Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIMNS untuk membantu siasatan.

“Kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng, di Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN