Tiada lagi peluang pendakwaan fail rayuan – Peguam

Tiada lagi peluang pendakwaan fail rayuan – Peguam

DATIN Seri Rosmah Mansor hadir mendengar keputusan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tanpa rayuan, fakta dapatan Mahkamah Tinggi yang menyatakan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan beliau dikenakan tindakan undang-undang adalah kekal.

Firma guaman, Tetuan Shafee & Co berkata, tindakan pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan walaupun diarahkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan juga menunjukkan pendakwaan tidak berniat untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 3 Mac lalu.

“Apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan dengan ra­yuan, bahawa keputusan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi tersebut sememangnya suatu keputusan yang teguh dan tidak boleh disangsi mana-mana pihak.

Ia mengukuhkan lagi bahawa kedua-dua anak guam kami dan Encik Arul Kanda Kandasamy (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) sememangnya tidak bersalah dalam kes ini,” kata kenyataan media firma guaman itu, semalam.

Kata kenyataan tersebut, berdasarkan bukti kukuh dikemukakan sewaktu perbicaraan jelas menunjukkan bahawa bekas Perdana Menteri juga tidak sepatutnya didakwa di mahkamah.

“Keputusan untuk mendakwa anak guam kami (Najib) telah menimbulkan pelbagai kesulitan dan kesukaran kepada anak guam kami selama tempoh lima tahun ini,” kata kenyataan itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui selepas tamat prosiding pula berkata, pihak pendakwaan boleh mencuba nasib untuk mengembalikan rayuan tersebut.

“Tetapi saya tidak fikir mereka akan menemui cahaya di hujung terowong. Apa yang mereka nampak hanya kereta api yang datang dari arah bertentangan,’’ katanya.

Kenyataan media itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membatalkan dua notis rayuan pendakwaan.

Notis-notis rayuan itu difailkan berkait dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Mac lalu yang melepaskan dan membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN