Tak usah jual agama kerana nak menang kerusi - Johari - Utusan Malaysia

Tak usah jual agama kerana nak menang kerusi – Johari

JOHARI ABDUL GHANI meluangkan masa bersama-sama penduduk Orang Asli ketika melawat Kampung Bakar Batu, Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menempelak pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan sentimen agama demi mendapat kuasa dan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

Beliau berkata, masyarakat Melayu perlu memahami bahawa Islam itu sebenarnya menggalakkan pembangunan dan tidak seharusnya berfikiran sempit.

“Masyarakat Melayu kena faham, pembangunan itu dituntut dalam Islam. Jangan hanya pakai slogan membangun bersama Islam namun negeri ke belakang. 

“Tak usah jual agama kerana nak kerusi. Jual agama untuk kerusi, kita tak boleh buktikan agama kita dipimpin orang yang boleh membangunkan negara,” katanya ketika program Ziarah Kasih bersama penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Johari berkata, orang Melayu tidak boleh taksub dan terbawa-bawa berpolitik berasaskan agama sahaja sehingga negara tidak stabil dan menyukarkan ekonomi negara membangun.

Beliau berkata, kestabilan negara perlu menjadi keutamaan dan kunci utama buat kerajaan perpaduan membangunkan semula ekonomi negara sehingga ia terus berkembang pada masa akan datang.

“Negara kita kini berdepan pengangguran tinggi dan masalah ini tidak dapat diselesaikan jika masyarakat taksub berpolitik sepanjang masa.

“Membangunkan ekonomi adalah antara fokus kerajaan perpaduan ketika ini. Ia (membangunkan ekonomi) tak ambil masa sekejap kerana nak selesaikannya perlu ambil jangka masa panjang, namun kita kena bina asas itu semula dengan syarat kestabilan dapat dicapai,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pembangunan yang dilakukan oleh sesebuah negeri menjadi ukuran bahawa pentadbiran kerajaan ini efektif selain terdapat kedinamikan politik.

“Yang penting tunjukkan hasil bagaimana kamu bangunkan Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Barulah orang percaya kepimpinan Islam (itu) progresif walaupun kita konservatif. Kita nak tunjuk kepada rakyat. Pulau Pinang, contohnya walaupun bukan dipimpin pemimpin Islam tapi mereka progresif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya