Suhaizan semakin yakin menang - Utusan Malaysia

Suhaizan semakin yakin menang

SUHAIZAN KAYAT (baju putih) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli ketika berkempen di kawasan Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas hampir dua minggu berkempen, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat semakin yakin mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut Sabtu ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu  berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan yang sangat baik dalam kalangan pengundi di kawasan Parlimen Pulai.

Malah, kerjasama erat yang ditunjukkan oleh rakan sekutu, Barisan Nasional (BN) ketika berkempen mendekati akar umbi dan jenteranya juga menambah keyakinan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Pimpinan UMNO dan BN bertali arus membantu saya berkempen di Pulai, ini adalah gambaran perpaduan yang erat di bawah kerajaan perpaduan. Saya dapat kerjasama sangat baik, tak pernah lihat kerjasama seperti ini.

“Saya kira itu akan membantu kita meyakinkan pengundi bagi menghantar hantar wakil calon daripada kerajaan perpaduan ke Parlimen, Insya-Allah 11 hari bulan ini angkat sumpah,” katanya ketika ditemui berkempen di kawasan Perling.

Pada PRK ini, Suhaizan berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Dalam tempoh kurang 48 jam untuk berkempen ini, masa tersebut mencukupi untuk terus mendekati pengundi di sini selepas melalui jadual yang padat.

“Isu yang dekat dengan rakyat di Pulai ini adalah isu rumah, maknanya ia berkait dengan keselesaan, infrastruktur dan persekitaran, ini yang banyak dibangkitkan. Selain itu, turut dibangkitkan ialah tempat letak kenderaan, kemudahan, jalan, longkang dan sebagainya.

“Turut menarik perhatian saya ialah soal kepadatan penduduk yang tinggi, dalam radius 16 kilometer di kawasan Kempas, dianggarkan terdapat hampir 80,000 penduduk, di Perling lagi besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan bertekad memperkasakan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT,  iaitu instrumen yang baik untuk mengeratkan hubungan komuniti setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN