Rakyat muak kisah dongeng Hadi - Hairi - Utusan Malaysia

Rakyat muak kisah dongeng Hadi – Hairi

MOHD. HAIRI MAD SHAH (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Kontinjen Tanjung Surat yang mengambil bahagian dalam Sukan Bangsa Johor 2023 di Arena Larkin Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat negeri ini sudah muak mendengar kisah dongeng yang digembar-gemburkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan mengubah kerajaan Persekutuan.

Naib Ketua Pemuda UMNO,  Mohd. Hairi Mad Shah berkata, rakyat khususnya di kawasan terlibat PRK cerdik untuk membuat pilihan dan tahu perkara itu tidak akan berlaku serta tempoh kempen yang berbaki seminggu lagi sepatutnya digunakan untuk menjelaskan apa tawaran bagi penduduk Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Dakwaan itu tidak masuk akal, saya tidak tahu apakah solusi atau bagaimana cara yang membolehkan mereka membentuk kerajaan baharu dengan memenangi kerusi tersebut. Saya seru kepimpinan parti PN dan Pas yang datang ke Johor berikan solusi kepada rakyat dan bukan hanya dengan topik dongeng kerana rakyat dah letih untuk mendengar cerita seperti ini. 

“Kalau kita lihat di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dalam masa beberapa hari (selepas PN menang di tiga negeri itu) akhirnya Menteri Besar mereka menghadap juga Perdana Menteri. Jadi amat penting kerajaan negeri dan kerajaan pusat selari,” katanya selepas merasmikan Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Ahad lalu, Abdul Hadi ketika ditemui di Markas Pas Pulai dilaporkan berkata, keputusan memberangsangkan gabungan PN pada PRK Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus bagi perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd. Hairi menggesa pengundi agar tidak termakan dengan pujukan anasir-anasir dari luar yang cuba meracuni minda pengundi menjelang PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana tidak sesuai dengan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, Johor mempunyai cara dan agendanya tersendiri dalam memacu kemajuan negeri ini.

“Agenda kita besar, iaitu agenda Johor. Kita ada agenda kita, ramuan kita sendiri dan berpolitik pun ikut cara kita sendiri,” tambahnya.

Mengenai dakwaan sambutan hambar ketika berkempen, beliau menjelaskan, situasi itu tidak berlaku setelah pelbagai gerak kerja disusun oleh

jentera Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Saya lihat di peringkat BN dan PH kerjasama cukup baik selepas pilihan raya negeri (PRN) lepas. Saya tidak nampak cacat cela cuma saya letakkan harapan kepada semua di Pulai dan Simpang Jeram terus memberi kepercayaan dengan agenda Johor.

“Tinjauan terhadap orang muda juga menunjukkan pola atau mereka sudah tidak mahu dengar pasal politik BN atau PN tapi 48.6 peratus lebih suka (mendengar) agenda Johor,. Ini menunjukkan rakyat faham dan tahu menilai apa yang agenda Johor tawarkan dan pada masa mengingatkan penduduk dari negeri di pantai timur atau utara yang bekerja di negeri ini supaya tidak mempengaruhi pengundi dengan anasir tidak sepatutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN