PRK: Nafi kempen hambar, hanya beri tumpuan di Simpang Jeram - Utusan Malaysia

PRK: Nafi kempen hambar, hanya beri tumpuan di Simpang Jeram

ZULKIFLI JAAFAR (dua dari kiri) melakukan 'walkabout' di Perling Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar menafikan bahawa gabungan itu lebih memberi tumpuan terhadap kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berbanding di kawasan yang ditandinginya.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan oleh parti dalam PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Pas bagi kedua-dua kawasan itu sama kuat serta tidak timbul isu kempen di Parlimen Pulai dianaktirikan.

“Bagi saya, sokongan dan kekuatan jentera bagi kedua-dua kawasan, iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram adalah sama hebat, tak timbul isu pertandingan di kerusi DUN itu diberi lebih tumpuan.

“Apa yang saya lihat, jentera daripada ketiga-tiga parti di bawah PN kesemuanya terlibat berkempen di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya selepas mengadakan ‘walkabout’ di Perling Mall, di sini.

Zulkifli berentap dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pada PRK Parlimen Pulai, 9 September ini.

Ada pihak yang mendakwa kempen Zulkifli dilihat kurang bermaya setelah tidak ada nama besar daripada mana-mana parti yang bersamanya ketika berkempen mendekati pengundi Parlimen Pulai.

Selepas hampir seminggu berkempen,  hanya sekali pemimpin utama PN seperti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal hadir pada Majlis Dialog Rakyat Bersama Presiden Pas yang diadakan di Taman Tampoi Utama, di sini.

Keadaan ini berbeza dengan pencabarnya daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan yang dibantu oleh jentera sekutu politiknya, Barisan Nasional (BN).

Antaranya nama besar yang membantu kempen Suhaizan seperti Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.

Dalam pada itu, Zulkifli yang merupakan anak jati Tampoi menyatakan sambutan terhadap kempen dan ‘walkabout’ yang dilakukan setakat ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Jika ada yang sifatkan kempen kami di Parlimen Pulai ini hambar, itu adalah suara daripada pihak sebelah sana, saya tak merasakan itu berlaku. Sebenarnya, selain jentera bersama saya melakukan ‘walkabout’, ada pasukan lain yang turut bergerak mendekati akar umbi, ada juga dari Srikandi yang membantu kami, itu belum kira kempen dari rumah ke rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN