PRK: Giliran Amanah balas budi BN, UMNO - Mat Sabu - Utusan Malaysia

PRK: Giliran Amanah balas budi BN, UMNO – Mat Sabu

MOHAMAD SABU berbual dengan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan pada Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) akan bekerja keras memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini bagi membalas jasa BN, khususnya UMNO yang tidak mengenal penat membantu kemenangan calon Amanah pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, bulan lalu.

Beliau berkata, asas setia kawan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN itu perlu diteruskan dan diperkukuhkan atas semangat kerajaan perpaduan.

“Terlebih dahulu, saya nak ucapkan tahniah pada BN, khasnya UMNO yang bekerja keras sehingga Amanah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK bulan lalu. Saya lihat semangat perpaduan semakin erat dan kini tiba giliran kita pula untuk membantu mereka sehebat mungkin bagi membolehkan BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai.

“Kemenangan itu secara tidak langsung akan menghapuskan gelombang hijau yang bersifat sementara dan kini semakin reda,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini malam tadi.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, Perikatan Nasional (PN) diwakili Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim (PN), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Pejuang, Isa Ahmad.

Mohamad berkata, semangat perpaduan semua parti dalam kerajaan perpaduan pada PRK di Johor sebelum ini akan dibawa ke PRK DUN Pelangai.

Dalam masa sama, beliau turut berharap semangat ahli UMNO dan sokongan akar umbi kembali pulih seperti biasa.

“Bila saya cakap begitu memanglah nampak pelik, sebab saya berlawan dengan UMNO, BN lebih 44 tahun, sekarang ini saya mahu UMNO pulih pula. Tetapi itulah kehendak kita, sebab apabila kita berkawan, kita mesti mahu kawan kita turut menjadi kuat dan apabila PH dan BN jadi kuat, kita mampu terus mentadbir bagi tempoh empat tahun lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN