PRK: Ajar pengundi tegar, warga emas pangkah PH - Ahmad - Utusan Malaysia

PRK: Ajar pengundi tegar, warga emas pangkah PH – Ahmad

AHMAD MASLAN melawat seorang warga emas ketika mengadakan program Ziarah Kasih di Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jentera UMNO Johor perlu cakna dengan isu yang dialami pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing, antaranya mengajar pengundi khususnya warga emas memangkah logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini. 

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini bagi menyelesaikan kekeliruan pengundi tegar setelah tiada logo dacing dipaparkan pada kertas undi pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Sebelum ini mereka mudah untuk membuat keputusan, nampak logo dacing (BN), mereka akan pangkah, tetapi di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini, tiada lambang dacing kelihatan. Justeru, jentera UMNO Johor perlu memberi pemahaman kepada ahlinya, terutamanya golongan warga emas menerusi jentera Jalinan Rakyat khususnya Wanita UMNO.

“Jentera perlu menjelaskan UMNO dan BN kini bersama Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, mereka perlu memangkah di logo PH di kertas undi nanti,” katanya selepas program Ziarah Kasih di sekitar Perling, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut menggesa supaya kempen menerusi media sosial diperhebatkan oleh calon pada minggu terakhir ini.

“Kempen di media sosial amat penting untuk mendekati jumlah pengundi yang tinggi lebih-lebih lagi membabitkan anak muda yang sentiasa melayari media sosial. Selain kempen dalam media sosial, kempen rumah ke rumah juga penting untuk temui seberapa ramai pengundi selain mendekati mereka secara bersemuka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perubahan dasar dan falsafah yang dilakukan oleh DAP terhadapnya parti itu bermula sejak tahun 2012 dan bukannya semata-mata demi menjalinkan kerjasama dengan BN ke arah pembentukan kerajaan perpaduan.

Menurutnya, perubahan besar terhadap asas perjuangan parti itu dizahirkan DAP menerusi Deklarasi Shah Alam dan DAP@50 yang telah mengiktiraf kedudukan Islam, hak istimewa Melayu Bumiputera, kedaulatan raja-raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“DAP telah membuat satu perubahan yang sangat besar dalam deklarasi DAP pada 2012 panggil Deklarasi Shah Alam dan kemudian diikuti oleh DAP@50 pada 2016.

“Dalam kedua-dua deklarasi itu, DAP menyebut bahawa mereka menyokong kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan; menyokong hak istimewa Melayu Bumiputera; menyokong kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyokong bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN