KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencadangkan untuk mendakwa Tan Sri Abdul Hadi Awang di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia susulan ucapannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis mencadangkan pertuduhan dibuat bawah Seksyen 4 Akta hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan sama ada Presiden Pas itu akan didakwa atau tidak akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
“Sama ada akan tuduh atau tidak tuduh, itu bergantung pada penilaian Pejabat Peguam Negara nanti,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Ayob berkata, kertas siasatan tersebut akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada minggu ini.
Terdahulu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengambil keterangan Hadi di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur selama sejam.
Hadi disiasat berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.
Ahli Parlimen Marang berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Kata Hadi, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.
Kes itu sebahagian daripada kes agama, raja dan kaum (3R). – UTUSAN