PUTRAJAYA: Sebarang tuntutan atau cadangan untuk menambah bahagian pilihan raya dengan memecah parlimen terutama kawasan bandar sukar dilaksanakan dan tidak akan berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, persempadanan kawasan pilihan raya tidak boleh dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa urusan persempadanan semula hanya boleh dibuat setiap tempoh lapan tahun.
“Kajian persempadanan terakhir pada April 2018, maka proses persempadanan yang akan datang hanya boleh dilakukan SPR adalah selepas April 2027.
“Proses persempadanan melibatkan seluruh negara memakan masa antara 15 hingga 24 bulan dan tidak boleh melebihi 24 bulan. Ini bermakna ia tidak boleh dibuat sebelum April 2027,” katanya di sini semalam.
Wan Ahmad berkata, PRU16 pula dijangka dibuat seawal 2026 atau sehingga parlimen terbubar sendiri pada Disember 2027.
Jelasnya, SPR membuat persempadanan semula mengikut ketetapan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut Jadual Ke13 Perlembagaan tidak sewenang-wenangnya membolehkan kawasan parlimen bandar boleh dipecah sesuka hati atau mengikut kehendak mana-mana parti politik.
PARLIMEN
“Jika DAP bercadang untuk pecah kawasan bandar kepada beberapa kawasan parlimen kecil seperti didakwa pihak tertentu, ini bercanggah dengan prinsip 2(c) Jadual Ke13 yang ditetapkan Perlembagaan.
“Ini bermakna, ia tidak akan laksanakan permintaan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, apa-apa pindaan kawasan atau menambah bahagian pilihan raya perlu lulus melalui undi dua pertiga di Dewan Rakyat.
Katanya, setiap ahli parlimen berhak mengundi setuju atau tidak setuju apa-apa cadangan yang disediakan SPR dan akan dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen.
“Justeru, berlandaskan ketetapan yang termaktub dalam Perlembagaan, apa-apa tuntutan atau cadangan untuk tambah bahagian pilihan raya secara memecah parlimen bandar seperti itu amat sukar dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu tular mesej berhubung dakwaan usul yang akan dibawa DAP bagi mewujudkan persempadanan baharu menjelang PRU16 untuk menambah 78 kawasan parlimen sekali gus menjadikan keseluruhan kerusi parlimen di Dewan Rakyat berjumlah 300 kerusi berbanding 222 ketika ini.
Mesej itu turut mendakwa, daripada jumlah itu, 58 kerusi parlimen memihak kepada DAP manakala 20 kerusi lagi berpihak kepada PKR, dan jika usul ini tidak disekat, DAP bakal memiliki 98 kerusi selepas PRU15.
Ia sekali gus melayakkan DAP yang paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan akan mencalonkan seorang ahli parlimen Melayunya sebagai Perdana Menteri seterusnya. – UTUSAN










