Penyamun cederakan warga emas, larikan wang tunai, barang kemas - Utusan Malaysia

Penyamun cederakan warga emas, larikan wang tunai, barang kemas

SAEDIN Abd. Hamid menunjukkan kesan lebam di badannya yang dipukul penyamun yang memecah masuk rumahnya dalam kejadian pada pagi 31 Ogos lalu di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga daripada lima orang penyamun yang memecah masuk ke sebuah rumah di Kampung Gemuruh, di sini, turut bertindak memukul seorang warga emas menggunakan kayu sebelum melarikan barang kemas, wang tunai dan pelbagai barangan lain dalam kejadian awal pagi Khamis lalu.

Menceritakan kejadian itu, warga emas terbabit, Saedin Abd. Hamid, 77, yang merupakan bekas tentera itu nekad untuk melawan tiga orang penyamun tersebut namun tidak meneruskannya kerana isterinya, Noriah Rose, 77, turut diawasi oleh dua orang lagi penyamun di luar bilik.

“Lebih kurang pukul 2.30 pagi, saya memeriksa keadaan rumah apabila terdengar bunyi bising di dapur dan kemudian diterkam tiga penyamun. Setiap seorang memegang kayu di sebelah tangan dan sebelah lagi memegang parang.  

“Kemudian mereka bertubi-tubi memukul paha dan tangan saya sebelum memukul di kepala, selepas itu saya tidak ingat yang berlaku, kemudian apabila tersedar parang sudah berada di leher dan kaki serta tangan saya diikat menggunakan serban saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Gemuruh, di sini, hari ini.

Saedin berkata, penyamun berkenaan masuk melalui tingkap bahagian dapur dan menyelongkar kesemua lima bilik serta melarikan wang tunai milik isteri sebanyak RM 6,500, rantai serta cincin emas bernilai kira-kira RM20,000.

“Barang-barang anak saya pun ada yang dilarikan, namun, saya tidak pasti berapa nilai kerugiannya. Penyamun keluar dari rumah kira-kira pukul 4 pagi dan ikatan tangan serta kaki saya dibuka isteri,” katanya.

Dia kemudiannya bersama isteri telah pergi ke rumah anak keduanya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah bagi meminta bantuan.

Saedin kemudiannya dibawa ke hospital dan mendapatkan rawatan di hospital sejak pagi 31 Ogos lalu dan dibenarkan pulang ke rumah tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN