JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dakwaan melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun di sebuah taska di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang, bulan lalu.
Tertuduh, Farahin Abdul Kadir, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, suspek didakwa menyebabkan kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya mengalami kecederaan fizikal pada pukul 3.49 petang, 25 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.
Peguam bela tertuduh, Mohamad Isa Mohamad Basir bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan pada masa ini.
“Semasa bekerja di taska berkenaan, tertuduh menerima pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan. Namun, kini dia tidak lagi bekerja dan tiada sebarang punca pendapatan, sebaliknya hanya bergantung dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori.
“Pada masa sama, tertuduh turut menanggung ibu dan bapa yang tinggal bersama mereka,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.
Che Wan Zaidi turut menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN