JOHOR BAHRU: Insiden rusuhan yang tercetus pada program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi, baru-baru ini bukan isu besar yang perlu dibimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pergaduhan itu bermula ekoran perselisihan faham kecil, namun menjadi besar tetapi terkawal dan kembali ke normal.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak penganjur dicadangkan untuk memperkemaskan peraturan dan kawalan pada tahun akan datang bagi mengelak kejadian serupa berulang.
“Mengenai insiden pergaduhan DIBW 2023, apa yang berlaku tidaklah terlalu berat bagi saya sebab kita ada polis dan pihak keselamatan yang tahu menangani isu keselamatan itu.
“Negara kita ini ada undang-undang, bahkan hak kebebasan bersuara pun harus mengikuti undang-undang, semestinya pihak polis dapat menilai tindakan dan kesilapan yang telah berlaku pada malam kejadian itu.
“Untuk tahun mendatang mungkin kawalan akan diperkemaskan, pihak atau agensi sepatutnya untuk memberi fokus terhadap aspek keselamatan,” katanya diminta mengulas insiden pergaduhan pada program DIBW 2023.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan empat lelaki tempatan ditahan reman selama tiga bermula hingga esok bagi membantu siasatan.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin menyerahkan perkara itu kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Melihat dari sudut positif, Mohd. Hairi menyifatkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu sebagai sukses kerana berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan mengeratkan silaturahim.
“Kita sambut baik siapa sahaja yang hadir ke negeri ini. Saya rasa isu ini hanya perselisihan faham kecil dan terkawal. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya salahkan sesiapa dalam kes ini, biarlah pihak polis jalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN