Peluang PH, PN tawan kerusi Simpang Jeram 50-50

Peluang PH, PN tawan kerusi Simpang Jeram 50-50

CALON Bebas, S. Jeganathan (kiri), Nazri Abdul Rahman dan Mohd. Mazri Yahya selepas diumumkan sebagai calon PRK Dun Simpang Jeram. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH tiada ramalan konkrit mampu dikeluarkan mana-mana pihak untuk menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, meskipun tempoh berkempen hanya berbaki kurang 48 jam daripada hari mengundi pada Sabtu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peluang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan kekal seimbang menerusi peratusan 50-50, dengan kedua-dua calon bertanding, Ir. Nazri Abdul Rahman dan Dr. Mohd. Mazri Yahya dilihat masih berhempas pulas meraih sokongan.

Walaupun Pas dilihat lebih agresif bermodalkan isu kerja­sama UMNO dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, ditambah pula dengan senjata saat akhir melibatkan keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hal itu tidak boleh dijadikan sandaran bahawa sokongan akar umbi UMNO bakal berpindah kepada mereka.

UMNO melalui Barisan Nasional (BN) mempunyai soko­ngan agak besar di Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, iaitu berjumlah 6,062 undi.

Ini membuatkan Pas ber­ke­yakinan tinggi, hanya wajib meraih antara 20 hingga 30 peratus jumlah itu untuk mengangkat Mohd. Mazri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, berbanding Parti Amanah Negara (Amanah) yang memerlukan sekurang-kurangnya separuh daripada­nya.

Meskipun PN menguasai kem­pen secara terbuka melalui ceramah kelompoknya pada setiap malam dan dunia media sosial, taktikal UMNO bergerak secara tertutup menemui akar umbinya juga tidak boleh diperkecilkan keberkesanannya.

Sumber dalaman parti men­dakwa, ahli-ahli UMNO melihat keputusan mahkamah berhubung pertuduhan ra­suah dihadapi Timbalan Perdana Menteri dalam perspektif berbeza, dengan mendakwa penerimaan terkini akar umbi terutamanya golongan vete­ran terhadap kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kian po­sitif.

Keyakinan kepemimpinan PN yang dilihat konsiten menghentam Ahmad Zahid secara peribadi di saat-saat akhir juga dikhuatiri memakan diri sendiri, memandangkan ia sedikit-sebanyak bakal mengguris pe­rasaan ahli-ahli UMNO sekiranya terlalu ekstrem.

Selain itu, PH yang menguasai sokongan bukan Melayu terutama pengundi Cina tidak mampu menyembunyikan ke­gu­saran berhubung peratusan keluar mengundi yang ditakuti rendah terutama membabitkan pengundi Cina.

Ini kerana majoriti mereka merupakan pengundi luar yang bekerja di Kuala Lumpur serta Singapura. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini