Noorahimah minta bergambar adik beradik sebagai kenangan - Utusan Malaysia

Noorahimah minta bergambar adik beradik sebagai kenangan

NORHAYATI menunjukkan gambar Noorahimah (kanan) bersama abang serta adik bongsunya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kakak kepada mangsa kemalangan enam sekeluarga memaklumkan adiknya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, sempat meminta adik-beradik mengambil gambar bersama semasa kenduri perkahwinan adik bongsu mereka pada Ahad lalu.

Norhayati, 51, berkata, mangsa secara berseloroh memberitahu gambar itu sebagai kenang-kenangan sebelum salah seorang daripada mereka pergi dijemput Ilahi.

“Saya dengan dia tidak rapat sangat, dia rapat dengan adik bongsu (Noorahila), semasa kenduri hari itu, arwah minta bergambar beramai-ramai, dia cakap mana tahu salah seorang daripada kita pergi dahulu, boleh buat kenang-kenangan.

“Rupa-rupanya semalam, dia sekeluarga pergi buat selamanya,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat, di sini hari ini.

Norhayati mengakui masih terkejut dan tidak menyangka kemalangan itu melibatkan adik dan keluarganya

Dia yang juga guru agama berkata, majlis di rumah ibu mereka di Parit Jawa, Muar itu adalah kali terakhir bertemu dengan Noorahimah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Dalam pada itu, Norhayati memberitahu dia menerima perkhabaran duka itu pukul 7.28 malam menerusi aplikasi WhatsApp oleh saksi kejadian yang mendapatkan nombor telefon salah seorang anak mangsa.

“Dia cakap (saksi kejadian) kalau nak tahu apa-apa boleh hubungi Balai Polis Segamat, tetapi saya terus ‘call’ dia dan dapat sahkan memang itu keluarga adik saya,” katanya.

Norhayati berkata, Noorahimah merupakan seorang adik yang ceria dan periang serta ibu yang tegas.

“Sebelum dia pergi, tidak ada apa-apa tanda yang pelik berlaku, dia seorang yang ‘happy go lucky’, nak kata garang tidak cuma dia seorang ibu yang tegas,” katanya.

Menceritakan kisah pilu itu, Nohayati berkata, adik iparnya, Amir Ruddin Ismail bersama-sama anak-anaknya dalam perjalanan dari Ladang Tereh Utara, Kluang untuk menghantar Noorahimah pulang ke rumah di Felda Kemedak kerana dia mengajar di Sekolah Agama Felda Kemedak, dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN