JOHOR BAHRU: Fatwa haram yang dikeluarkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah disebabkan beliau terpengaruh dengan sisi gelap rakan komponen di dalam Perikatan Nasional (PN), Pas.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan songsang Pas di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh membuatkan sesiapa yang berkawan dengan mereka terpengaruh.
“Saya tidak terkejut, ini kerana Muhyiddin sedang berdamping dengan Pas. Pas hari ini bukan lagi Pas yang dahulu dikenali dengan kepimpinan yang sangat menjaga akhlak, sebaliknya Pas sekarang diukur dengan kuasa.
“Mereka berasakan Pas ada kuasa kerana jumlah kerusi yang dimenangi, sehinggakan kempen politik di Johor pun Hadi masih lagi meratib mahu menang kerusi untuk tumbangkan kerajaan Persekutuan sedia ada.
“Fikir matematik tidak masuk akal tetapi mereka masih berkata akan dapat tubuhkan kerajaan jika menang PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Pulai ini. Apabila lama berkawan dengan Pas, beberapa tabiat songsang parti itu kini menjadi ikutan Bersatu, amat malang,” katanya selepas menghadiri Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia, di sini.
Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta calon PH, Suhaizan Kayat.
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menggesa Muhyiddin atau mana-mana kepimpinan politik untuk tidak mengulangi kenyataan-kenyataan seperti menjatuhkan hukum haram pada masa depan.
“Tindakan (terhadap Muhyiddin) selepas PRK ini, tetapi kita akan uruskan perkara itu sekarang. Tindakan memberi hukum kerana perbezaan politik seseorang adalah satu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Politik ini fiqahnya sangat luas, untuk beliau dengan mudah mengungkap hukum seumpama itu adalah perbuatan semacam ‘hijack the true teaching of Islam’ dan saya menggesa agar beliau tidak mengulangi kenyataan-kenyataan seperti itu. Memadai kita bertarung dalam politik dengan menawarkan dasar, program, tawaran, itu lebih molek berbanding melemparkan hukum terutamanya yang berkait dengan agama,” jelasnya.
Sabtu lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata haram mengundi Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai. – UTUSAN