JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan supaya bertaubat selepas mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon parti kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak seharusnya mempermainkan agama, sebaliknya berkempen secara matang tanpa mencetuskan kontroversi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebagai seorang ‘senior’ dalam kancah politik, Muhyiddin sepatutnya menumpukan isu yang ingin dibawakan atau manifesto parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.
“Suruh dia bertaubatlah, jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita. Kempen tu berkempen juga, berpolitik pun politik juga, tapi bab soal akidah jangan buat main. Jangan nak kata tak masuk syurgalah, macam-macamlah dan sengaja mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi.
“Saya bagi nasihat kepada individu yang berpangkat ‘abang-abang’ saya itu supaya jadilah seorang yang gentleman. Kita bagitahu apa yang nak kita lakukan, bukanlah keluarkan kenyataan seperti itu,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Permatang Kempas, di sini hari ini.
Beliau mengulas satu video yang tular dalam media sosial hari ini menunjukkan Muhyiddin ketika berucap dalam satu ceramah sempena PRK Parlimen Pulai di Johor, mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, cara itu dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menangani isu ekonomi yang menghimpit rakyat ketika ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, visi kerajaan perpaduan adalah cukup jelas untuk mempertahankan majoriti dua pertiga, sekali gus membolehkan misi kerajaan untuk memulihkan ekonomi berjaya.
“Bagi kerajaan perpaduan, kita mahu bentuk kerajaan yang mantap kerana ia menjadi kriteria utama buat pelabur nak datang melabur ke satu negeri atau negara. Ini jelas, selepas Johor menang sahaja (dengan majoriti dua pertiga) pada Mac lalu, Johor membawa masuk pelaburan RM70 bilion pada tahun lalu, iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.
“Sekarang, negara kita menjadi destinasi pelabur baru nak datang, contohnya Tesla pilih Malaysia, Infineon Technologies pula tambah pelaburan RM25 bilion di Kulim High Tech Park di Kedah,” katanya. – UTUSAN