PETALING JAYA: Dua individu termasuk menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal tampil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menghilangkan diri sejak Mei lalu.
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, keberadaan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Muhammad Adlan Berhan, 48, dan seorang lagi lelaki iaitu Mansoor Saat, 69, tidak dapat dipastikan pihak berkuasa selepas mereka mendiamkan diri serta tidak membalas setiap kali dihubungi.
Kata sumber itu, SPRM juga ada cuba menghubungi mereka melalui peguamnya tetapi gagal kerana tidak memberi kerjasama yang baik.
“SPRM menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengesan mereka dengan mengenakan tindakan notis merah oleh Polis Antarabangsa atau Interpol,” katanya di sini semalam.
Pada 25 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan nama Muhammad Adlan dan Mansoor sudah disenaraikan notis merah oleh Polis Antarabangsa.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas kedua-duanya belum pulang bagi membantu siasatan SPRM.
Utusan Malaysia melaporkan, tindakan memanggil Muhammad Adlan adalah kali pertama dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Difahamkan, kedua-duanya dalam proses untuk dituduh di mahkamah. – UTUSAN










