Menanggung rindu anak maut tragedi di Elmina - Utusan Malaysia

Menanggung rindu anak maut tragedi di Elmina

HATUN Bakar (kiri) yang masih merindui arwah Sharipuddin Shaari ditemani Ramlah Shaari di kediamannya di Kampung Rani Estate, Arau, Perlis baru-baru ini – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang wanita warga emas yang kehilangan anaknya dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam ,Selangor dua minggu lalu meneruskan baki kehidupannya dengan menanggung rindu terhadap anaknya itu.

Luah Hatun Bakar, 82, atau le­bih mesra disapa Tok Hatun berkata, dia tidak mungkin melupakan anaknya, Allahyarham Sharipuddin Shaari yang selama ini menjaga makan dan sakit demamnya.

“Dia anak saya, sakit demam, makan minum saya dia yang jaga selama ini, bagaimana boleh saya melupakan dia,” luah Hatun ringkas kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Allahyarham Sharipuddin, salah seorang mangsa yang maut dalam dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina pada 17 Ogos lalu.

Bekas tentera tersebut yang berasal dari sini meninggalkan balu, Suriana Muda,43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul Izuan,16, serta Nur Izzara Arissya, 9.

Arwah Sharipuddin atau le­bih mesra dipanggil Din oleh keluarga terdekat berhijrah ke ibu kota selepas pandemik Covid-19 untuk mencari rezeki menyara keluarganya sebagai pemandu e-hailing.

Sementara itu, kakak Sha­ri­­pud­din, Ramlah Shaari, 57, berkata, terdapat perubahan ketara pada ibunya sejak arwah terkorban dalam nahas itu.

MASA

Katanya, ibunya yang dahulu sering meluangkan masa bersama saudara terdekat di sekitar kawasan rumah kini berubah menjadi lebih pendiam.

“Ibu menjadi lebih pendiam, tidurnya tidak nyenyak dan kurang berselera makan selepas pulang menziarahi jenazah adik di Selangor baru-baru ini.

“Ibu ada mengadu kurang sihat dan hanya menjamah sedikit sahaja makanan. Saya bimbangkan keadaan ibu dan mengajak tinggal bersama keluarga kami namun ibu enggan meninggalkan rumahnya.

“Saya percaya perubahan ibu disebabkan dia sangat ter­kenangkan Sharipuddin dan sangat merindui arwah,” katanya.

Selain itu, Ramlah berharap, pihak-pihak bertanggungjawab akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga arwah termasuk pengadilan yang sewajarnya.

Katanya, dia turut berharap pihak kerajaan tidak melupakan serta mempermudahkan bantuan kepada ibunya yang tinggal berseorangan di kampung.

“Sharipuddin ialah anak lelaki tunggal dalam keluarga kami yang menjadi tempat ibu bergantung harap selama ini dan kami harap dapat dipermudahkan apa-apa bantuan kepada ibu kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN