Memperluas perkhidmatan pemulihan PERKESO untuk menampung lonjakan permintaan

Memperluas perkhidmatan pemulihan PERKESO untuk menampung lonjakan permintaan

DR. MOHAMMED AZMAN AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Inisiatif Rehabilitasi 2030 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan kelompangan memenuhi keperluan pemulihan di serata dunia dan mengetengahkan peranan keutuhan sistem kesihatan dalam menyediakan khidmat penjagaan yang menyeluruh. Berdasarkan WHO, satu daripada tiga individu di seluruh dunia memerlukan pemulihan merentasi pelbagai keadaan kesihatan dan kumpulan umur yang berbeza.

Dengan populasi yang semakin menua dan lonjakan insiden penyakit kronik, permintaan untuk pemulihan dijangka meningkat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Selaras pertimbangan penjagaan kesihatan global ini, Malaysia membangunkan sistem penjagaan kesihatan awam dan kemudahan yang semakin berkembang, termasuklah pemulihan fizikal.

Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda bahawa bekalan perkhidmatan rehabilitasi dalam negara masih tidak mencukupi. Pada tahun 2022, sebanyak 72,149 kes dilaporkan kepada PERKESO berkaitan kemalangan kerja, kemalangan semasa dalam perjalanan, dan penyakit pekerjaan. 26% daripada kes ini menyebabkan kehilangan upaya kekal.

INTERVENSI

PERKESO menaruh kepercayaan bahawa intervensi awal dapat mencegah hilang upaya kekal.

Bersandarkan hala tuju ini, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Melaka mula beroperasi pada tahun 2014 untuk menyediakan perkhidmatan rehabilitasi secara menyeluruh kepada pekerja yang diinsuranskan, yang merangkumi fisioterapi dan terapi pekerjaan.

Ketika ini, PRPTAR mempunyai Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics, yang menggunakan robot Hybrid Assistive Limb (HAL) neuro-robotik dari Cyberdyne Inc, Jepun.

Pusat rehabilitasi PERKESO menyediakan perkhidmatan pemulihan secara menyeluruh untuk pekerja yang diinsuranskan, merangkumi fisioterapi dan terapi pekerjaan.

Pusat Cybernics ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan di rantau ASEAN, serta yang terbesar di dunia untuk menawarkan perkhidmatan rawatan Cyberdyne HAL.

Bagi tempoh dari tahun 2014 hingga Julai 2023, PRPTAR dan pusat-pusat satelitnya berjaya merawat lebih 8,323 pesakit, menggunakan kaedah pemulihan berdasarkan teknologi untuk mengubati ketidakupayaan otot dan kegagalan fungsi fizikal.

Pada tahun 2022, 34% daripada kes yang diterima berkaitan dengan muskuloskeletal, manakala hampir 24% berkaitan dengan penyakit kronik, yang juga berupaya dicegah.

Malah, kajian kendalian Kementerian Kesihatan melaporkan satu daripada tiga dewasa mengalami masalah kesihatan mental.

Sehubungan itu, Rehabilitasi PERKESO juga menerapkan kepentingan kesejahteraan psikososial dan sokongan sosial pesakit, berbanding sekadar pemulihan fizikal.

PERKESO juga merintis usaha untuk mengembalikan pekerja terbencana kepada keluarga, persekitaran kerja dan masyarakat, dengan menyediakan pengurusan kes, kaunseling, terapi tingkah laku kognitif, dan remediasi untuk isu kesihatan mental seperti gangguan tekanan selepas trauma.

Hasilnya, kejayaan terlakar apabila sejak 2014, sebanyak 45% daripada pesakit PRPTAR berupaya mendapatkan kembali kedudukan mereka dalam kerjaya melalui Program Return to Work PERKESO, sekali gus mengurangkan kehilangan produktiviti akibat pengangguran sementara.

Namun, jelas bahawa kadar perkhidmatan rehabilitasi masih tidak mencukupi bagi menampung lonjakan keperluan dalam kalangan masyarakat. Nisbah fisioterapi kepada populasi di Malaysia adalah 1:7,422 – jauh lebih rendah berbanding nisbah yang dicadangkan WHO iaitu 1:2,000.

Lebih banyak kemudahan dengan kakitangan perubatan terlatih diperlukan untuk merapatkan jurang akses perkhidmatan rehabilitasi, terutama di kawasan luar bandar di mana faktor mobiliti rakyat adalah terhad.

Oleh itu, pemeteraian perjanjian antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan PERKESO, untuk pembangunan Pusat Rehabilitasi PERKESO Wilayah Timur di Terengganu beberapa hari lalu mencerminkan komitmen kami ke arah menyebarluaskan perkhidmatan rehabilitasi.

Dengan kurniaan dan perkenan dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, PERKESO menerima tanah seluas 70 ekar dengan pajakan selama 99 tahun untuk membina pusat rehabilitasi menyeluruh (berkapasiti 160 – 200 katil), memperkasa pembangunan modal insan dalam bidang ini, serta meningkatkan akses perkhidmatan rehabilitasi kepada rakyat.

Justeru, saya teruja untuk melihat lembaran kemajuan terbaharu yang akan dilakar untuk PERKESO, Kementerian Sumber Manusia dan Malaysia.

 

Dr. Mohammed Azman Aziz Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan PERKESO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN