MAINS bantu tiga sekeluarga mangsa kebakaran - Utusan Malaysia

MAINS bantu tiga sekeluarga mangsa kebakaran

AMIRUL Aizuddin Ali mengunjungi Zainab (kanan) yang tinggal sementara di sebuah rumah di Kampung Baruh, Chengkau, Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Nasib tiga sekeluarga mangsa kebakaran di Kampung Solok, Chengkau, di sini, semalam mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang tampil menyalurkan bantuan hari ini.

Pegawai Agihan Pejabat MAINS Rembau, Amirul Aizuddin Ali berkata, pihaknya menyalurkan bantuan awal berupa wang tunai sebanyak RM500 dan juga barangan keperluan asas.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga akan meneliti keperluan bantuan kewangan one-off iaitu bantuan bencana membabitkan kerosakan rumah mangsa.

“Bantuan yang disalurkan ini merupakan duit zakat yang diamanahkan untuk membantu golongan memerlukan. Ini merupakan bencana kebakaran ketiga di daerah ini pada tahun ini yang kami salurkan bagi meringankan beban mangsa bencana.

“Diharap keluarga mangsa kebakaran tabah dengan dugaan dan menggunakan bantuan sebaik mungkin bagi menguruskan kehidupan selepas bencana ini,” katanya ketika mengunjungi mangsa kebakaran di Kampung Baruh, Chengkau, di sini.

Semalam, media melaporkan tiga beranak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman pusaka yang diduduki musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Solok, Chengkau, di sini, pada pukul 5 petang.

Sementara itu, mangsa, Zainab Abdullah, 71, berkata, dia berasa lega dan bersyukur apabila banyak pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk memberikannya rumah sementara untuk berlindung selepas rumahnya musnah terbakar.

“Alhamdulillah, bagaimanapun saya harap sangat dapat didirikan rumah di tempat tanah rumah yang terbakar. Macam mana pun lebih selesa tinggal di rumah dan tanah sendiri daripada menumpang di rumah orang,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan sumbangan bantuan segera berjumlah RM500.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya