JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport beras.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertemuan itu antara lain bagi mengemukakan permohonan kepada kerajaan India untuk meneruskan pengeksportan beras putih ke negara ini, namun setakat ini masih belum mendapat maklum balas daripada kementerian tersebut.
“Apabila mereka menyekat aktiviti eksport beras putih secara mengejut, itu membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras Basmathi masih boleh diimport dengan banyak tetapi harganya adalah lebih mahal.
“Sebab itu, kita nak berbincang secara kerajaan dengan kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras tempatan yang melanda negara ketika ini.
“Kita masih lagi menunggu tarikh yang diberikan, sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pertemuan pada minggu ini pun kita boleh pergi,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini malam tadi.
Yang turut hadir Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, sekatan terhadap pengeksportan beras putih di India menyebabkan harga beras eksport di negara ini meningkat secara mendadak.
Jelasnya, kenaikan harga itu menjadi punca kebanyakan pengguna beralih membeli beras putih tempatan yang jauh lebih murah sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di beberapa tempat dalam negara.
“Bekalan beras kita masih mencukupi, cumanya kalau harga yang diimport itu tinggi menyebabkan orang mencari beras tempatan terlalu banyak. Ketika ini juga, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang menuai padi dan 20 peratus daripada hasil itu akan dikilangkan untuk menampung keperluan bekalan semasa.
“Masalah kekurangan bekalan beras ini merupakan krisis global yang turut menjejaskan banyak negara dan Malaysia dapat tangani isu ini lebih baik berbanding negara lain dari segi kekurangan beras,” katanya. – UTUSAN