'Kita orang pulang dulu', mesej terakhir tiga adik - Abang - Utusan Malaysia

‘Kita orang pulang dulu’, mesej terakhir tiga adik – Abang

ABDURRAHMAN AMIR RUDDIN (kanan) menunjukkan mesej terakhir yang dihantar oleh adiknya menerusi aplikasi WhatsApp.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Tiga beradik yang maut bersama ibu bapa dan seorang lagi adik dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat  petang semalam sempat menghantar mesej WhatsApp kepada abang sulung sebelum terlibat dalam nahas tersebut.

Abdurrahman Amir Ruddin, 19, dia menerima mesej itu pada pukul 3.26 petang yang dihantar menggunakan telefon bimbit ibunya. 

“Kami memang keluar saing, tetapi ayah, ibu dan lima adik yang lain pergi ke Segamat untuk menghantar ibu yang mengajar di Sekolah Agama Felda Kemendak, kemudian baru hantar tiga adik yang bersekolah di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi di Gerisek. 

“Adik sempat hantar mesej guna telefon ibu, mereka ambil gambar bertiga dan tulis ‘kita orang balik dulu’ dan saya balas dengan swafoto di atas motosikal untuk pulang ke rumah nenek di Parit Lapis Darat, Parit Jawa, Muar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pagi itu ibunya turut menghantar mesej memberitahu tidak jadi untuk memasak nasi Arab dan menyuruhnya makan lauk-pauk yang dimasak malam semalam.

Dalam nahas itu, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan empat adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah,13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Nahas berlaku selepas  kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir.

Abdurrahman memberitahu, dia telah menerima panggilan daripada bapa saudaranya pada pukul 8.30 malam memaklumkan nahas yang menimpa keluarganya. 

“Tiba-tiba pak cik telefon tanya saya tahu atau tidak enam keluarga saya maut, ketika itu saya berjumpa rakan di Tangkak dan awalnya saya hanya anggap mereka bergurau, memang saya tak nangis pun.

“Apabila sampai di Muar, saya tengok orang sudah mulai ramai dan ketika itulah saya rasa sangat sedih, tidak dapat digambarkan perasaan kerana saya hilang ibu, ayah, adik-adik dalam sekelip mata,” katanya. 

Dia dimaklumkan hanya adik ketiganya yang terselamat, namun keadaannya kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Segamat. 

Ayahnya bekerja sebagai Imam di Ladang Tereh Utara, Kluang, manakala dia pula bilal di Surau Ladang Selai yang terletak di kawasan berhampiran. 

“Saya dan ayah duduk berasingan, jarak rumah kami kira-kira enam kilometer. Tiap-tiap minggu memang ibu akan balik ke Ladang Tereh dan ayah akan hantarnya semula. Saya tak ikut hantar ibu kerana memang telah niat untuk jenguk nenek di Parit Lapis pada minggu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN