Kerap diganggu, Ahirine Ahirudin belum mahu pasang bodyguard - Utusan Malaysia

Kerap diganggu, Ahirine Ahirudin belum mahu pasang bodyguard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Walaupun sudah diekori dan diganggu penghendap dalam tempoh beberapa bulan ini, namun pelakon Ahirine Ahirudin, 27, belum merancang memasang pengawal keselamatan dalam masa terdekat.

Menurut pelakon kelahiran Melaka tersebut, penghendap yang pada asalnya merupakan salah seorang daripada kenalannya tiba-tiba bertindak agresif mengganggunya baik di media sosial mahupun di dunia nyata.

“Kami sudah saling kenal tiga tahun lalu. Namun perangainya semakin membimbangkan beberapa bulan ini sehingga saya hampir membuat laporan polis.

“Dia tahu alamat rumah saya dan pernah muncul beberapa kali di beberapa lokasi saya berada.

“Kalau saya sekat akaun media sosial miliknya, semua itu tiada guna sebab dia akan muncul dengan akaun yang baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Walaupun mempunyai seni pertahanan diri Muay Thai dan dikenali melakonkan babak aksi lagak ngeri, Ahirine tidak menafikan bahawa dirinya sering berada dalam keadaan cemas dan ketakutan sejak peristiwa membabitkan pengendap berkenaan yang enggan dijelaskan dengan lebih terperinci.

“Ya, takut juga nak keluar seorang diri sebab rasa ada mata-mata yang memerhati. Saya rasa tak selamat.

“Walaupun ada seni mempertahankan diri Muay Thai pun tak cukup untuk melawan jika berlaku apa-apa. Namun saya belum merancang untuk memasang pegawal keselamatan.

“Disebabkan individu tersebut, saya perlu berhati-hati untuk berkongsi apa sahaja dalam media sosial. Dia selalu merasakan bahawa semua hantaran yang saya muat naik ditujukan padanya, sedangkan tidak,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Ahirine muncul sebagai pelakon taruh menerusi sebuah filem yang ditayangkan di Amazon Prime bertajuk Tebus.

“Sebagai pendatang baru, saya akui saya masih punya banyak kelemahan. Tapi tak sangka setiap hari saya akan dimarahi oleh pengarah ketika di set penggambaran.

“Sewaktu minggu pertama saya rasa seperti hampir putus asa dan terfikir mungkin watak ini bukan untuk saya. Tambahan pula badan saya sakit-sakit kerana melakukan babak aksi.

“Tetapi bila saya fikirkan semula, jika saya tidak dimarahi mungkin saya tidak akan belajar,” tambahnya.

Tebus memaparkan kisah pengawal keselamatan, Johan yang menculik seorang gadis bernama Ana yang juga merupakan pewaris barangan kemas berjenama Suci. Sepanjang tempoh diculik, Johan kemudian jatuh hati dengan Ana dan menjalin hubungan cinta.

Turut sama menjayakan filem itu ialah Aedy Ashraff, Azhan Rani, Idan Aedan, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN