PETALING JAYA: Kementerian Luar mengesahkan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengintipan di Norway.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo, Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan rakyat negara ini.
“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sekiranya diperlukan,” katanya.
Terdahulu, portal tempatan Norway melaporkan pelajar Malaysia ditahan kerana dipercayai melakukan aktiviti risikan di Norway, termasuk pemantauan telefon (wiretapping).
Memetik The Nordic Page, penahanan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu berlaku pada petang Jumaat lalu, yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Perisikan Norway- PST.
Bagaimanapun, sasaran khusus pengintipan lelaki itu belum jelas.
Menurut pihak berkuasa, bukti menunjukkan bahawa kereta sewa suspek direkodkan kamera pengawasan dan pada masa sama, pengintipan dilakukan berhampiran lokasi penting, termasuk Kuarters Kerajaan, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan.
“Pegawai pendakwa polis di PST, Thomas Fredrik Blom, memaklumkan pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan terperinci untuk mengumpul bukti.
“Suspek seorang pelajar yang tidak berdaftar di institusi pendidikan Norway, hanya berada di Norway untuk tempoh yang singkat.
“Suspek ditangkap pada 8 September dan kemudian ditahan selama empat minggu, dengan dua minggu pertama di dalam sel berasingan,” lapor portal itu.
Turut dilaporkan, pihak polis merampas pelbagai peranti pembawa data dan barangan elektronik daripada suspek.
Tuduhan terhadapnya adalah berdasarkan Seksyen 121 Kanun Jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang mengumpul atau memiliki maklumat rahsia yang boleh membahayakan kepentingan asas negara.
Pihak berkuasa negara itu mengesyaki mungkin terdapat lebih banyak individu yang terbabit dalam kes itu.- UTUSAN










