Kajian RMK12: Bersama bangunkan Malaysia - Utusan Malaysia

Kajian RMK12: Bersama bangunkan Malaysia

ekonomi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat sama-sama bangunkan Malaysia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan pelan pembangunan bernilai RM415 bilion bagi merancakkan pertumbuhan aktiviti ekonomi ketika negara berdepan kelembapan permintaan global, kekangan hutang lebih RM1 trilion dan cabaran ketidakstabilan politik berterusan.

Semakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu menyaksikan peningkatan pelaburan dalam sektor strategik, pelaksanaan infrastruktur penting dan menangani isu struktur yang membelenggu negara berdekad lamanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat kekal sebagai hala tuju dan penentu program pembangunan dan akan menjadi asas kepada perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kelak.

Anwar Ibrahim semasa membentangkan KSP RMK12 Di Dewan Rakyat semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan kemelut geopolitik.

Oleh itu, Perdana Menteri mengakui bukan tugas yang mudah untuk kerajaan mengatasi semua cabaran ini dan mencapat matlamat dalam RMK12.

“Saya mengajak semua agar kita kembali kepada politik yang membina, sama sama bergandingan, segulai sejalai membangunkan semula negara kita.

HEBAT

“Kita semua cintakan negara ini. Malaysia punyai potensi yang hebat, kekayaan hasil mahsul dan tenaga pekerja serta profesional dan rakyatnya yang berdaya saing mampu meletakkan kita pada kedudukan strategi sebagai peneraju ekonomi Asia sebagaimana yang dicita-citakan,” katanya dalam pembentangan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut beliau, Kajian Separuh Penggal RMK12 itu bukan pendekatan biasa kerana penilaian itu meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi cabaran semasa yang menuntut negara melakukan anjakan secara tegas dan menyeluruh.

Bagi mencapai matlamat itu, kata Anwar, Kerajaan Perpaduan sedang mempersiapkan negara menempuhi fasa kedua Kajian Separuh Penggal RMK12 yang bertemakan ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’ dengan memberi tiga tumpuan utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.

“Sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama telah diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan. Insya-Allah, KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi Madani,” katanya.

TATAKELOLA

Perdana Menteri berkata, antara anjakan tersebut adalah membabitkan tatakelola dan rangka kerja institusi, perundangan berkaitan rasuah, kemampanan fiskal dan sistem kewangan dan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) berasaskan peralihan tenaga dan subsidi bersasar.

Selain itu, menurut beliau, pembudayaan masyarakat Madani, reformasi perlindungan sosial, perumahan untuk rakyat, pengukuhan perkhidmatan kesihatan, pengukuhan keselamatan dan pertahanan negara, industri HGHV berasaskan teknologi dan digital, industri HGHV elektronik dan elektrik bernilai tinggi dan HGHV pertanian dan industri asas tani.

Baki anjakan lain membabitkan industri HGHV nadir bumi, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perusahaan sosial, pengukuhan jaringan pengangkutan awam dan ketersediaan bakat masa hadapan.

“Anjakan baru bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam. Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, Insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan turut menyasarkan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya lima peratus setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberikan tumpuan kepada dua perkara pokok.

“Pertama, memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri yang bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran. Di samping itu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan ahli akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara.

“Kedua, kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelabur dengan memperkukuh daya saing. Langkah utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN