JOHOR BAHRU: Pengundi di Parlimen Pulai diingatkan supaya mengambil pengajaran apa yang berlaku di Selangor apabila kehilangan majoriti dua pertiga selepas peratusan keluar mengundi tak cukup tinggi akibat rakyat terlalu yakin boleh menang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu, Selangor merekodkan peratusan keluar mengundi kira-kira 71 peratus, manakala pengundi masyarakat Cina yang melaksanakan tanggungjawab hanya 61 peratus.
Katanya, angka itu menyebabkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kehilangan empat kerusi dengan majoriti yang tipis seterusnya tidak mendapat dua pertiga setelah menang 34 daripada 56 kerusi dipertandingkan.
Kerusi yang kalah dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil (400), Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Sungai Kandis (167).
“Saya tahu ramai yang katakan ada peluang besar menang di Pulai, tetapi saya juga harap kita tak selesa. Jika berpandangan seperti itu, akan jadi macam apa yang berlaku di Selangor. PRN lalu, ramai berpandangan Selangor gerenti menang dan bila terlalu yakin, ramai yang tak turun mengundi. Perlu ingat, setiap undi bermakna dan bernilai, jika peratusan keluar mengundi naik sebanyak 0.5 peratus lagi, Kita boleh menang empat kerusi ini dan sahkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Negeri, tak apalah perkara itu sudah lepas.
“Oleh itu, pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ingatkan rakan-rakan ini adalah untuk negara dan masa depan kita, pemulihan negara sedang dilakukan dan saya jamin kerajaan perpaduan kekal sampai habis penggal,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, di sini.
Yang turut hadir, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad dan Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Amirudin berkata, di Selangor lebih 60 peratus rakyat menyokong kerajaan perpaduan dan menyekat berlakunya gelombang yang dicanang Perikatan Nasional (PN) dan perkara ini perlu diteruskan di Parlimen Pulai.
Katanya, kemenangan kerusi Parlimen Pulai yang ditandingi calon PH, Suhaizan Kayat akan menjamin kemenangan dua pertiga di Parlimen, sekali gus membantu kerajaan yang sedang dipulihkan pada landasan kejayaan ekonomi.
Justeru, pengundi perlu menolak laungan politik PN yang hanya untuk meneruskan ketidakstabilan dalam negara.
“PN nak jadikan Pulai sebagai tapak baharu untuk cipta gelombang baharu, saya minta orang Pulai hentikan kerja gila ini dengan terus sokongan PH pada PRK ini. Gaya politik mereka melampau, melepasi batas dengan membakar semangat perkauman antara kita selain terap elemen fitnah dan tipu daya,” katanya. – UTUSAN