Isu agama, tanggapan negatif faktor derma organ rendah di Kelantan

Isu agama, tanggapan negatif faktor derma organ rendah di Kelantan

ZAINI  Hussin (empat dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada waris penderma organ pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Isu agama dan persepsi atau tanggapan negatif terhadap perbuatan menderma organ dalam kalangan masyarakat menjadi salah satu faktor yang menyebabkan peratusan pendermaan organ di Kelantan rendah berbanding negeri lain.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, berdasarkan statistik, hanya tiga individu yang tampil untuk menderma organ di negeri ini dalam tempoh 47 tahun iaitu bermula tahun 1976 sehingga Ogos lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, kadar pendermaan organ hanya mencatatkan 0.01 peratus sahaja daripada tiga juta populasi penduduk di Kelantan.

“Setakat ini, kadar pengikrar derma organ di Kelantan adalah 0.4 peratus iaitu seramai 7,500. Jumlah itu merupakan satu angka yang terlalu rendah berbanding negeri lain.

“Kebanyakan masyarakat mengatakan bahawa pendermaan organ akan menyeksa mayat. Selain itu, ada juga waris tidak mahu melengahkan pengurusan jenazah sehingga pendermaan organ tidak dapat dilaksanakan. Perkara ini adalah satu tanggapan yang salah yang perlu kita atasi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, masyarakat tidak sepatutnya mempunyai persepsi negatif memandangkan fatwa  pemindahan dan pendermaan organ telah dikeluarkan malah perbuatan itu turut dibenarkan.

Katanya, pendermaan organ akan dijalankan secepat dan sebaik mungkin tanpa melengahkan urusan pengebumian jenazah.

“Kesedaran berkaitan pendermaan organ perlu diberikan secara meluas kepada masyarakat memandangkan jumlah pesakit yang memerlukan pendermaan organ amat tinggi. 

“Secara keseluruhan, seorang penderma mampu menyelamatkan seramai empat hingga lapan nyawa. JKNK berterima kasih kepada mereka yang mengambil keputusan untuk menderma organ meskipun sukar yang sekali gus memberi sebuah kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan,”ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya