JOHOR BAHRU: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan Forest City sebagai sebuah Zon Khas Kewangan merupakan langkah strategik dalam merangsang pertumbuhan ekonomi di Iskandar Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif kerajaan yang merupakan langkah strategik untuk meningkatkan pelaburan asing.
“Sebagai pemangkin utama dan pemaju strategik bagi Flagship B koridor ekonomi Iskandar Malaysia, termasuk Medini dan EduCity, IIB percaya bahawa Zon Khas Kewangan Forest City akan mewujudkan peluang pelaburan selain beri peningkatan besar terhadap pertumbuhan ekonomi serantau.
“Kedudukan Medini yang berhampiran Forest City memberi peluang ideal untuk kami mencapai visi membina metropolis masa depan yang inklusif dan mampan menerusi kerjasama berterusan, mengenal pasti peluang serta menjadi pelengkap kepada cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Idzham, IIB kekal komited dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyelaras pembangunan di Iskandar Puteri dengan pelbagai manfaat lanjutan status Forest City tersebut.
“Komitmen kami untuk turut serta memastikan kejayaan negeri Johor kekal teguh. Kami percaya menerusi penyelarasan usahasama, kita dapat mencipta persekitaran yang merangsang kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan mampan.
“Johor akan sentiasa menjadi destinasi kompetitif untuk pelaburan dan projek pembangunan IIB di rantau ini adalah bukti naratif kami ini. Dengan infrastruktur kukuh, kemudahan pengangkutan yang pelbagai dan kedudukan strategik yang meletakkan kami hanya 15 minit dari Forest City dan hanya 20 minit ke Singapura, IIB bersedia untuk memanfaatkan peluang daripada Zon Kewangan Khas ini,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya berazam untuk terus menyumbang terhadap pertumbuhan berterusan ekonomi Johor, menarik pelaburan, memupuk inovasi, dan mencipta ekosistem yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan mahupun serantau.
Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan Forest City di sini akan dijadikan sebagai Zon Khas Kewangan baharu negara bertujuan meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat dan kawasan sekitarnya. – UTUSAN