Hasrat pemandu bas ke kenduri, bercuti dengan anak-anak tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat pemandu bas ke kenduri, bercuti dengan anak-anak tidak kesampaian

NURIZZATI Ab. Aziz (dua dari kiri) dan Mariani Mohd. Noor (tiga dari kanan) menunggu jenazah Ab. Aziz Daud dibedah siasat di perkarangan bilik forensik Hospital Lipis di Lipis. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Hasrat pemandu bas ekspres, Ab. Aziz Daud, 63, hadiri majlis kenduri kahwin sambil melancong bersama keluarga ke Kuantan tidak kesampaian apabila maut dalam nahas di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kampung Kubang Rusa di sini malam kelmarin.

Anaknya, Nurizzati, 34, berkata, ayahnya sudah me­rancang untuk pergi ke Kuantan menghadiri majlis kahwin sambil melancong bersama keluarga dalam masa terdekat.

“Arwah meminta semua anak-anak yang bekerja di luar Kelantan pulang bagi menghadiri kenduri kahwin sambil bercuti bersamanya di Kuantan.

“Malangnya hasrat ayah tidak kesampaian apabila kami mendapat tahu ayah terkorban dalam kemala­ngan,” katanya ketika ditemui di Hospital Lipis di sini semalam.

Nurizzati, anak sulung dari­pada tujuh beradik berkata, dia pulang bercuti ke Kampung Joh Labok, Machang minggu lalu dan mendapati ayah ketika itu banyak termenung selepas bermain de­ngan cucunya.

Katanya, bapanya yang bekerja sebagai pemandu bas lebih 30 tahun sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori.

SEDIH

Sementara itu, isteri ar­wah, Mariani Mohd. Noor, 56, walaupun sedih, dia reda dengan kejadian tersebut dan berdoa Allah SWT mengampunkan segala dosa arwah.

Sementara itu, Halilah Mat, 54, isteri anggota bomba yang turut maut dalam kemalangan tersebut, Shukri Mat Noor tidak menyangka lambaian suaminya sebelum bertolak ke ibu negara dua hari lalu adalah yang terakhir.

Katanya, arwah suaminya merupakan anggota bomba di Kuala Krai bercuti ke Kuala Lumpur bersama rakannya atas urusan peribadi.

“Saya bersama anak kembar, Mohd. Hakim dan Mohd. Hakimi, 24, menghantar arwah ke Stesen Bas Kuala Krai dan tidak menyangka itulah pertemuan terakhir kami bertiga,” katanya.

Dia berkata, kebiasaannya mereka sekeluarga menaiki kereta ke Kuala Lumpur untuk bertemu sanak-saudara dan membeli-belah, tetapi kali ini arwah pergi bersama rakannya.

“Kemungkinan arwah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang perniagaan kerana dia mohon bersara daripada kerja sebagai bomba tahun hadapan,” katanya.

Kelmarin, tiga lelaki maut selepas bas ekspres dua tingkat yang membawa 18 penumpang dan dua pemandu terbabas dan melanggar pokok di Merapoh.

Kejadian pada pukul 1.50 pagi itu berlaku berdekatan Kampung Kubang Rusa.

Selain Ab. Aziz dan Shukri, turut terbunuh buruh warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41, manakala enam mangsa lain mengalami kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN