Cina, India tidak perlu takut gelombang PN - Azmin - Utusan Malaysia

Cina, India tidak perlu takut gelombang PN – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI berucap di hadapan kira-kira 1,000 ahli dan penyokong pada Ceramah Perdana PN di Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kaum bukan Melayu, khususnya Cina dan India tidak perlu berasa takut dengan kebangkitan sokongan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, masyarakat bukan Melayu seharusnya lebih berasa takut dengan kewujudan golongan kleptokrat yang ketika ini berada dalam kerajaan.

“Masa depan Melayu Islam akan dijaga oleh PN, Cina dan India pula jangan berasa takut dengan kami. Lihatlah wajah kami (pemimpin PN), lihatlah tindak tanduk kami yang memikul tanggungjawab.

“Semasa pandemik Covid-19 melanda negara, kepimpinan PN yang telah selamatkan negara ini dan kami mewakili rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Pemimpin negara ketika itu adalah seorang Bangsa Johor (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Kalau betul Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu hapuskan rasuah, dia sepatutnya buat seperti Perdana Menteri Singapura yang menggantung seorang menteri kerana disiasat kes rasuah, bukan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi),” katanya ketika berucap pada Program Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Dr. Radzi Jidin serta calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, kerjasama kerajaan perpaduan telah menyebabkan masyarakat Melayu, khususnya kehilangan kerusi Parlimen Pulai apabila diserahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

“Johor dahulu adalah kubu kuat UMNO, tetapi kini UMNO telah terkubur di negeri ini. Pulai ini dahulunya UMNO yang bertanding, begitu juga di Simpang Jeram, tetapi kerana arahan tertentu UMNO kini melukut di tepi gantang.

“Datang tak menambah, pergi tak memberi kesan,” katanya sambil disahut dengan sorakan kira-kira 1,000 ahli dan penyokong PN yang turut hadir.

Mohamed Azmin turut memberitahu PRK Parlimen Pulai penting bagi rakyat negeri ini menghantar mesej jelas kepada kerajaan perpaduan bahawa rakyat Johor juga mampu bangkit melakukan perubahan.

“Keputusan Parlimen Pulai akan diteropong rakyat seluruh negara bagaimana Bangsa Johor mampu bangkit lakukan perubahan. Satu undi kepada PH adalah satu undi perkukuh kleptokrasi di negara, satu undi PH adalah untuk perkukuhkan DAP, satu undi PH adalah ‘endorsement’ kepada pemimpin mereka untuk terus kekal,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN