Anwar tidak campur tangan DNAA Zahid - Utusan Malaysia

Anwar tidak campur tangan DNAA Zahid

ANWAR Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ber­bincang dengan Tan Sri Idrus Harun berhubung keputusan me­lepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkaitan 47 pendakwaan jenayah ke atas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, beliau meminta penjelasan berhubung keputusan DNAA tersebut dan jika boleh memohon Idrus menangguhkan keputusan tersebut.

Kata Anwar, beliau tidak campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan mengetahui Peguam Negara ada budi bicara pendakwaan dan keputusan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata Perdana Menteri, keputusan DNAA bukan perkara baharu, malah, pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini dan menjadi rujukan.

HUKUMAN

“Kenyataan sebelum ini seolah-olah Perdana Menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian. Apakah saya berbincang? Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.

“Tan Sri Idrus terpaksa tarik atas alasan tertentu, saya cakap tidak boleh tangguh? Dia cakap tidak boleh. Saya tahu ramai tidak puas hati, termasuk kawan-kawan saya, tapi saya faham. Tapi, janganlah menghukum saya campur tangan.

“Adakah ada rujukan? Ada. Sebelum ini beberapa rujukan membabitkan beberapa kes. Oleh kerana kes DNAA ini melibatkan kes dibangkitkan, akhirnya keputusan dibuat Peguam Negara,” kata Anwar ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Pada 4 September, Mah­kamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan tersebut me­ngundang pelbagai reaksi termasuk mendesak kerajaan memanggil Idrus dan penggantinya, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh memberikan penjelasan.

MENYOKONG

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Sesi Perdana Menteri menjawab DNAA kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kekecohan tersebut, Ahli Parlimen Perikatan Nasional keluar Dewan Rakyat sebagai protes selepas Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) diarah berbuat demikian oleh Speaker.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau hairan de­ngan sikap beberapa ahli parlimen pembangkang yang tidak mempedulikan siasatan kes membabitkan bekas pemimpin terdahulu, namun, tidak pernah membangkitkan isu itu sehingga ke hari ini.

“Saya terkesan dan ucap terima kasih kepada rakan-rakan Yang Berhormat dengan semangat menentang rasuah, ini kesepakatan suara keras menentang keras, ini perkembangan baik,” katanya.

Dalam pada itu, pertengkaran antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tercetus ekoran kenyataan Anwar yang didakwa mengeluarkan kata-kata mengaitkan penarikan pendakwaan dengan Ahli Parlimen Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar men­jelaskan beliau tidak menuduh individu tertentu secara spesifik.

“Kamu tahu pentadbiran dahulu bagaimana, Peguam Negara yang sama iaitu Tan Sri Idrus,” kata Anwar

Sementara itu, Anwar me­negaskan, tiada siasatan terhadap tindakan kritik kerajaan, sebaliknya siasatan hanya membabitkan jika ahli politik itu menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.

Sepanjang penjelasan DNAA oleh Perdana Menteri, Ahmad Zahid dilihat tidak berada di Dewan Rakyat.
Sidang Dewan Rakyat semalam turut meluluskan KSP RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN