Anwar tiada kaitan dengan keputusan kes Ahmad Zahid - Saifuddin - Utusan Malaysia

Anwar tiada kaitan dengan keputusan kes Ahmad Zahid – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL berucap pada Ceramah Kelompok PH di Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada kaitan dengan keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pentadbiran kerajaan ñerpaduan di bawah pentadbiran Anwar tidak sama seperti zaman negara ditadbir oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, keputusan mahkamah itu di luar bidang kuasa Perdana Menteri dan tertakluk sepenuhnya di bawah keputusan peguam negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Yang mendakwa Ahmad Zahid adalah Tommy Thomas pada 2018 dan yang menarik balik kes itu Tan Sri Idrus. Jadi kenapa Anwar yang salah? Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibebaskan, peguamnya ketika itu adalah Datuk Hisyam Teh Poh Teik, dia juga peguam Ahmad Zahid. Kenapa bila Muhyiddin bebas, katanya Muhyiddin tak bersalah, tapi bila Ahmad Zahid bebas, kali ini Anwar yang salah.

“Malangnya orang bernama Anwar Ibrahim, apa sahaja salah Anwar seolah kerja dia minta Peguam Negara tarik balik kes itu. Itu dahulu zaman Tun Mahathir, dialah polis, pendakwa dan hakim,” katanya selepas berkempen di Taman Anggerik bersama Timbalan PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.

Semalam, Hakim  Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdepan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menempelak tindakan pihak pembangkang yang sengaja mengaitkan Perdana Menteri dengan keputusan kes terhadap Ahmad Zahid.

Beliau berkata, hanya Peguam Negara yang mempunyai kuasa untuk memulakan, meneruskan atau menghentikan pendakwaan.

“Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang tuduhan dan andaian bahawa tindakan apa pun yang dibuat oleh Peguam Negara, semuanya diletakkan di atas bahu Perdana Menteri, macam Perdana Menteri tiada kerja lain. Kuasa yang ada pada Peguam Negara itu merupakan kuasa di bawah Perkara 145 (3). Itu kuasa yang ada di bawah perlembagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN